Cemerlang atau tidak, Mara sedia lebih 345 institusi pendidikan untuk lepasan SPM

Cemerlang atau tidak, Mara sedia lebih 345 institusi pendidikan untuk lepasan SPM

ZAHARI Aziz (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada peserta poster terbaik sempena ICTE  26 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sama ada memperoleh keputusan cemerlang atau sebaliknya, tidak perlu bimbang untuk menyambung pengajian apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan lebih daripada 345 institusi pendidikan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Zahari Aziz berkata, pelbagai laluan pendidikan disediakan, terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi agenda utama pendidikan negara.

Katanya, Mara turut melaksanakan karnival pendidikan secara berterusan bagi membantu pelajar mengenal pasti institusi dan bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam keadaan sekarang, saya percaya generasi baharu khususnya Gen Z mempunyai minat yang tinggi untuk menyambung pengajian. Cuma, kadangkala mereka tidak tahu institusi mana yang sesuai untuk dipilih.

“Mara mempunyai lebih daripada 345 institusi pendidikan di seluruh negara. Sama ada memperoleh keputusan SPM cemerlang atau sebaliknya, mereka tidak perlu gusar kerana Mara menyediakan pelbagai ruang pendidikan, terutama dalam bidang TVET yang kini menjadi agenda utama pendidikan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan International Conference on Teaching and Education Theme 26 (ICTE 26) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, berdasarkan data, sebanyak 70 peratus pelajar yang mengikuti TVET terdiri daripada golongan lelaki.

Katanya, antara bidang yang ditawarkan ialah automotif, elektrikal serta minyak dan gas.

“Pelajar perempuan pula mengikuti bidang seperti kejururawatan dan pendidikan awal kanak-kanak. Pengajian berasaskan TVET turut membuka peluang pekerjaan yang baik di dalam dan luar negara, termasuk Singapura bagi pelajar dalam bidang kejururawatan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini