PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan memulakan ujian saringan air kencing secara berkala dan pemeriksaan mengejut (spot check) terhadap juruterbang dan kru kabin Malaysia Aviation Group (MAG) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kerjasama berkenaan kini dalam proses dimuktamadkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara AADK dan MAG.
Katanya, cadangan pelaksanaan ujian saringan itu bukan sahaja melibatkan juruterbang malah turut merangkumi kru penerbangan lain bagi memastikan sektor penerbangan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
“Antara cadangannya adalah dari segi ujian urin secara berkala dan spot check. Kita akan kemukakan cadangan itu.
“Perbincangan bagi memuktamadkan MoU berkenaan sedang berjalan dan sasaran untuk dimeterai antara AADK dengan MAG dijangka bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata beliau, kerjasama secara rasmi antara kedua-dua agensi penting bagi memastikan usaha membentuk tempat kerja bebas dadah dalam sektor penerbangan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
Ruslin berkata, AADK sebelum ini turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap juruterbang MAG sebanyak dua kali pada tahun lalu.
“Hasrat saya sebenarnya adalah agar bidang penerbangan ini bebas daripada dadah. Bukan sekadar di pejabat-pejabat kerajaan sahaja tetapi semua penerbangan pun perlu bebas kerana ia lebih melibatkan kepentingan keselamatan awam.
“Cadangan kita telah kemukakan, jadi kita tunggu perincian. Bagi saya, benda ini positif dan pihak MAG juga memberi maklum balas positif untuk bekerjasama dengan AADK,” jelasnya.
Sebelum ini, AADK mencadangkan ujian urin secara rambang terhadap juruterbang dan kru penerbangan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan sekali sebagai langkah memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dalam sektor penerbangan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hampir setiap hari pihaknya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah termasuk bunga ganja dari negara ini susulan peningkatan saringan di lapangan terbang.
Tindakan itu susulan kes seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia dan AKPS diberikan tanggungjawab untuk menyelaraskan saringan bersama pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang KLIA 1 dan 2.
MAG sebelum ini memaklumkan, semua juruterbang Malaysia Airlines yang masih bertugas disahkan bebas dadah susulan saringan mandatori dijalankan selepas seorang pegawai kedua ditahan di Indonesia akhir Julai lalu.
MAG turut melaporkan, semua 2,840 kru kabin syarikat penerbangan nasional itu menjalani saringan dadah.
Saringan sama dilakukan ke atas 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly.
Menurut MAG, lebih separuh daripadanya telah disaring setakat ini, dengan semuanya disahkan negatif dadah. – UTUSAN











