PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta berjaya dilangsaikan kepada pihak mahkamah.
Firma guaman, Tetuan Shafee & Co. yang mewakili Najib berkata, buat masa ini sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan.
Tambahnya, pelupusan mengenai perkara itu juga tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada masa ini.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau.
“Dalam keadaan sedemikian, anak guam kami kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, Najib akan kekal berada di dalam Penjara Kajang.
“Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,” katanya.
Firma guaman itu juga memaklumkan, Najib menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah
“Anak guam kami menerima keputusan Seri Paduka Baginda dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati. Anak guam kami turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan beliau.
“Pengampunan yang diperkenankan adalah pengampunan bersyarat. Sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut, pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guam kami bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Najib amat tersentuh dan menghargai sokongan diterima khususnya kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepemimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Anak guam kami turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Beliau berasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau.
“Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau.
“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan.
“Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini,” katanya.-UTUSAN.











