Saman Taman Sri Muda; Selangor semak jika rayuan dilakukan

Saman Taman Sri Muda; Selangor semak jika rayuan dilakukan

Saman Taman Sri Muda
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan membuat semakan melalui Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) Selangor bagi mengenal pasti jika terdapat tindakan rayuan terhadap keputusan kes saman banjir oleh penduduk Taman Sri Muda, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masih terdapat justifikasi-justifikasi boleh diberikan sekiranya keputusan itu di bawa ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Kita akan dapatkan makluman daripada pihak pegawai undang-undang negeri (PUU) bagi melihat proses-proses seterusnya sama ada rayuan harus dilakukan atau tidak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerana ia baru keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi, masih ada ruang untuk rayuan dilakukan dan dibuat bagi memberikan justifikasi-justifikasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026-2035 di sini, hari ini.

Semalam, seramai 50 penduduk Taman Sri Muda memenangi saman terhadap kerajaan dan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung kecuaian serta kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan banjir pada 2021 di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Shoba Rajah berkata, mahkamah mendapati wujud kewajiban berjaga-jaga yang boleh dijangka berdasarkan fungsi operasi dan tanggungjawab pengurusan bencana dipikul oleh defendan.

Mahkamah turut mendapati Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) gagal meningkatkan tahap tindak balas bencana, mengekalkan pusat penyelarasan utama serta mengerahkan pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dengan berkesan ketika bencana itu.

Sementara itu, Amirudin turut mengulas perkembangan projek tebatan banjir di kawasan perumahan dan perindustrian itu serta kerja-kerja pendalaman Sungai Klang yang turut melibatkan aliran di Taman Sri Muda.

Menurutnya, projek pendalaman Sungai Klang tidak termasuk dalam projek tebatan banjir secara keseluruhan, namun terdapat pelan disiapkan seperti pengurusan pam dan pintu air.

“Kita sudah melakukan kerja-kerja pendalaman dengan pantas di sana dan tumpuan memang diberikan di kawasan tersebut. Kita melihat ada peningkatan 20 peratus di Sungai Klang.

“(Projek tebatan banjir) berjalan dengan baik sebab dalam tempoh lima tahun selepas (banjir) 2021, (Taman Sri Muda) mengalami insiden yang sangat minimum dan sebahagiannya mungkin dalam kadar yang agak rendah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×