PETALING JAYA: Kemudahan parkir khas buat orang kurang upaya (OKU) terus berdepan isu disalahguna apabila pelekat khas kenderaan untuk golongan itu didapati mudah diperoleh dan dibeli secara terbuka tanpa memerlukan pengesahan status ketidakupayaan pemilik kenderaan.
Berdasarkan pemerhatian Utusan Malaysia, pelekat berkenaan dijual secara terbuka menerusi platform jualan dalam talian dengan harga serendah 70 sen selain boleh didapati di kedai alat tulis tanpa memerlukan pembeli mengemukakan bukti pengesahan sebagai OKU.
Keadaan itu membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menggunakan petak parkir yang dikhaskan kepada OKU sekali gus menafikan kemudahan berkenaan kepada golongan memerlukannya.
Presiden Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia merangkap Ahli Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya (MKBOKU), V. Murugeswaran berkata, kerajaan perlu memperketat mekanisme pengeluaran pelekat berkenaan dan memastikan ia hanya boleh diperoleh melalui saluran rasmi.
Menurutnya, pelekat kenderaan OKU sepatutnya hanya dikeluarkan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas status pemohon disahkan.
Tambahnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebelum ini juga pernah menaja sebanyak 20,000 keping pelekat OKU kepada JPJ bagi diagihkan khusus kepada pemandu OKU yang layak namun dakwanya inisiatif berkenaan telah dihentikan.
“Masalah ini timbul selepas JPJ telah berhenti mengagihkan pelekat OKU menyebabkan pelekat serupa masih terus beredar dan boleh diperoleh dengan mudah di pasaran.
“Segelintir individu yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan ke atas kemudahan pelekat OKU ini yang sekali gus mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan golongan OKU berasa hak dan maruah mereka ditindas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, difahamkan di Selangor, pengeluaran pelekat OKU kini tidak lagi berada di bawah kuasa JPJ sebaliknya telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diuruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata PBT tidak menjual pelekat tersebut kepada orang ramai, sebaliknya ia diberikan secara percuma khusus kepada golongan OKU yang layak melalui proses permohonan rasmi.
Menurut Murugeswaran, situasi ini menunjukkan ketiadaan sistem yang seragam dan konsisten daripada segi pengesahan serta penguatkuasaan menyebabkan kemudahan yang sepatutnya menjadi hak eksklusif golongan OKU terus disalahgunakan secara meluas.
Katanya, perkara berkaitan kemudahan buat OKU itu juga telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan OKU di Putrajaya pada 11 September lalu.
Beliau berkata, sehubungan itu, kementerian dan agensi berkaitan haruslah meneliti semula cadangan pengenalan plat khas bagi kenderaan yang didaftar dan digunakan oleh pemandu OKU.
Menurutnya, ia sebagai penyelesaian jangka panjang menggantikan sistem pelekat yang kini gagal berfungsi sebagai mekanisme pengesahan berkesan.
“Cadangan plat khas OKU ini bukan benda baharu, isu ini sudah lama sebenarnya dibincangkan iaitu hampir 10 tahun.
“Penggunaan plat khas yang mempunyai sistem pendaftaran dan pengesahan rasmi berpotensi menjadi satu mekanisme yang lebih mudah dikenal pasti oleh pihak penguat kuasa dan dapat membantu mengurangkan penyalahgunaan kemudahan parkir OKU,” katanya.
Murugeswaran berkata, pelaksanaan cadangan itu masih tergendala sehingga ke hari ini menyebabkan isu penyalahgunaan pelekat semakin ketara.
Sementara itu, OKU berkerusi roda, Fuad Sanusi, 60, berkata, dia sendiri pernah menyaksikan sendiri kenderaan yang mempunyai pelekat OKU diletakkan di petak parkir khas OKU namun apabila pemandu atau penumpangnya keluar, mereka tidak pula menggunakan kerusi roda.
“Situasi ini sama juga dengan isu tandas OKU, mungkin kerana ruangnya lebih luas dan selesa berbanding tandas biasa mereka lebih berminat untuk menggunakannya.
“Kerap saya jumpa kereta dan motosikal yang tiada pelekat OKU turut mengambil kesempatan menggunakan petak parkir tersebut, terutamanya di kawasan rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya,” katanya.
Menurut portal rasmi kerajaan iaitu https://www.malaysia.gov.my permohonan pelekat kenderaan bagi golongan OKU fizikal hanya terbuka kepada individu yang memenuhi kriteria tertentu.
Kriterianya iaitu OKU fizikal yang berkerusi roda, mampu memandu kenderaan sendiri, serta memiliki kenderaan yang telah dimodifikasi dan didaftarkan secara rasmi sebagai Kenderaan Orang Cacat.-UTUSAN.











