PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) berdepan kemungkinan tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan perintah penggantungan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kelmarin.
Perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa kelmarin sehingga tempoh yang tidak ditetapkan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status gabungan itu untuk menyertai PRN Melaka yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Namun, sama ada PN boleh bertanding atau tidak masih tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi mesyuarat khas yang akan diadakan bagi membincangkan pilihan raya berkenaan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang notis rasmi daripada RoS berhubung perintah penggantungan semua kegiatan PN itu.
“Keputusan sama ada PN boleh bertanding atau tidak akan ditentukan dalam mesyuarat khas SPR berkaitan PRN Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, RoS menerusi kenyataan ringkas kepada akhbar ini memaklumkan, maksud penggantungan semua kegiatan PN itu adalah termasuk tidak boleh menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya.
“Semua kegiatan PN adalah digantung serta merta bermaksud tiada aktiviti boleh dibuat termasuk tidak boleh menggunakan logo parti PN,” katanya.
Menurut RoS, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, tempoh penggantungan itu berkuat kuasa sehingga perintah berkenaan dibatalkan atau pendaftaran pertubuhan itu dibatalkan.
RoS menerusi kenyataan semalam memaklumkan, perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.
Menurut pertubuhan itu, notis berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan yang dikemukakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Notis tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya bagi memberi ruang kepada gabungan berkenaan mengemukakan penjelasan dalam tempoh yang munasabah.
“Perintah penggantungan berkenaan dikeluarkan bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melakukan pelanggaran terhadap aturan pertubuhannya sementara proses berkaitan berjalan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, PN sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang susulan tindakan RoS yang menggantung semua kegiatan gabungan itu.
Beliau berkata, PN mengambil maklum keputusan dikeluarkan oleh RoS namun tidak bersetuju dengan asas yang digunakan.
Katanya, langkah itu diambil bagi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangan PN yang didukung oleh ahli serta penyokongnya.
“PN mengambil maklum keputusan RoS namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.
“Ini demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didukung oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya.
Pada masa sama, Takiyuddin berkata, PN tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan mempunyai unsur niat tidak baik atau mala fide serta tekanan politik daripada pihak di dalam dan luar parti.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pihak yang didakwa terbabit atau asas kepada dakwaan berkenaan.
“PN menerima notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 berhubung hasrat RoS untuk membatalkan pendaftaran parti itu selepas tempoh 30 hari diberikan untuk mengemukakan tunjuk sebab.
“Cadangan pembatalan pendaftaran itu berkaitan aduan Bersatu terhadap PN berhubung satu mesyuarat yang diadakan pada 16 Julai lalu.
“Susulan notis berkenaan, PN turut menerima perintah di bawah subseksyen 13(2A) akta sama yang mengarahkan semua kegiatan parti itu digantung sehingga satu tarikh yang belum ditentukan,” katanya.
Menurut Takiyuddin, notis dan perintah berkenaan masing-masing diserahkan kepada PN pada 22 dan 23 September.
Beliau berkata, tindakan itu berlaku ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan dan berkuat kuasa bagi memberi laluan kepada PRN.
“Sehubungan itu, PN menyeru ahli dan penyokongnya supaya bertenang serta memberi jaminan perkara berkenaan sedang diuruskan.
“PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
“Pada masa sama, PN mengeluarkan perintah larangan bersuara berkuat kuasa serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak gabungan kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN,” katanya.-UTUSAN.











