Perlis tegas roboh kuil haram

Perlis tegas roboh kuil haram

KERAJAAN negeri tegas dalam soal penguatkuasaan terhadap pembinaan kuil haram termasuk telah melaksanakan tindakan perobohan terhadap sebuah kuil haram di Bukit Lagi, Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri tegas dalam soal penguatkuasaan terhadap pembinaan kuil haram di negeri ini termasuk telah me­laksanakan tindakan perobohan terhadap sebuah kuil haram di Bukit Lagi di sini, baru-baru ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, sebarang tindakan perobohohan tersebut adalah berlandaskan peruntukan undang-undang.

Katanya, tindakan perobohan kuil di Bukit Lagi antaranya adalah rentetan daripada isu lama yang berlarutan sejak tahun 2013, menyebabkan kerajaan negeri tiada pilihan selain me­laksanakan tindakan penguat­kuasaan.

Beliau berkata, perobohan kuil di Bukit Lagi itu berikutan struktur pembinaan berkenaan dibina tanpa kebenaran di atas kawasan yang bakal dibangunkan sebagai destinasi pelanco­ngan.

“Meskipun Perlembagaan Per­se­kutuan membenarkan pe­nganutan pelbagai agama dalam keadaan harmoni, setiap tapak pembinaan rumah ibadat perlulah mematuhi peraturan dan mendapat kelulusan rasmi. Kita menghormati semua agama dianuti dalam masyarakat pelbagai kaum di Perlis namun, pembinaan tempat ibadat perlulah di lokasi yang mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

“Boleh lihat sendiri bagaimana kuil yang berada bersebelahan (kuil di Bukit Lagi) tidak diganggu.

Tempat-tempat ibadat yang mempunyai hak dan kelulusan, kita tidak akan ganggu.

“Namun bagi kawasan se­perti di Bukit Lagi yang merupakan destinasi pelancongan yang akan dibangunkan, kita terpaksa ambil tindakan pe­robohan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak 41 buah rumah ibadat bukan Islam termasuk enam kuil dibina tanpa kebenaran atau secara haram di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Perlis (MPPs), Affendi Rajini Kanth dilaporkan berkata, setakat ini, hanya 10 rumah ibadat bukan islam yang telah memperolehi kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu termasuk dua kuil iaitu Kuil Sri Subraniaswamy Devastanam di Bukit Lagi dan Kuil Kamatchi di Padang Besar.

Affendi Rajini memberitahu, daripada jumlah tersebut, dua kuil haram telah berdepan tindakan perobohan termasuk terbaharu, Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi. Tindakan perobohan pembinaan haram di atas tanah kerajaan itu dilakukan tanpa sebarang prejudis tanpa mengira agama atau kaum.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri juga tidak lepas tangan berhubung nasib penduduk di kawasan berhampiran dengan rancangan pemindahan.

“Tempoh masa selama tiga bulan telah ditetapkan bagi menguruskan pelan penempatan semula penduduk terlibat di kawasan Bukit Lagi.

“Saya juga sudah mengarahkan agensi berkaitan se­perti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), MPPs, bahagian perumahan dan pihak berkaitan lain supaya bersedia memindahkan penduduk yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×