KUALA LUMPUR: Penyatuan ummah antara UMNO dan Pas semakin dicemburui pihak lawan sehingga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai fitnah dan tuduhan jahat direka untuk menakutkan, mengaibkan serta mencalarkan reputasi kepimpinan.
Katanya, tindakan tersebut juga bertujuan untuk menguji kecekalan hati pemimpin.
“Penyatuan ummah dengan rakan lama kita, Pas kini semakin dicemburui oleh lawan sehingga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi.
“Pelbagai intimidasi, fitnah dan tuduhan jahat telah direka semata-mata untuk menakutkan, mengaibkan, mencalarkan reputasi serta menguji kecekalan hati pimpinan,” katanya ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, perjuangan tersebut merupakan sunnatullah yang penuh dengan ujian, namun pejuang sejati yang sabar akan terus berdiri walaupun dilanda badai.
Jelasnya, perkembangan mutakhir ini turut mengingatkan UMNO tentang manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan.
Katanya, mereka rakus menyalahgunakan sisa jawatan serta menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak kedudukan.
“Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Mereka silap.
“Kita ini pejuang UMNO. Kita ini pejuang Melayu. Dicabar, kita bangkit. Ditekan, kita melompat lebih tinggi. Dipukul, kita berdiri lebih keras melawan,” katanya. –UTUSAN










