PETALING JAYA: Agenda penyatuan politik Melayu yang cuba digagaskan UMNO dan Pas hanya bermotifkan kepentingan politik demi mendapatkan kuasa.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, gagasan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai usaha tulen untuk menyatukan orang Melayu jika matlamat akhirnya hanya berkisar kepada percaturan politik dan perebutan kuasa.
“UMNO kini berada dalam keadaan semakin terdesak susulan beberapa kes yang didedahkan melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diwujudkan atas usaha mereka sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mujahid berkata, sekiranya UMNO dan Pas benar-benar serius untuk memperjuangkan penyatuan Melayu, usaha itu perlu mengambil kira kepentingan seluruh masyarakat serta tidak menjejaskan hak kaum lain.
Beliau berkata, konsep penyatuan yang lebih menyeluruh perlu berteraskan perpaduan dan kepentingan rakyat dan bukannya dijadikan sebagai instrumen politik ketika sesebuah parti berdepan tekanan.
Katanya, pendekatan menggunakan isu Melayu setiap kali berdepan keadaan terdesak hanya akan menjadikan agenda penyatuan tersebut sebagai satu bentuk retorik politik.-UTUSAN.










