Pelumba dari Perlis terus cipta kejayaan di MFOS 2026 - Utusan Malaysia

Pelumba dari Perlis terus cipta kejayaan di MFOS 2026

AZRUL Azhar Norbakari (tengah) dan jurupandu arah, Muhammad Irfan Azman muncul juara P1 dalam kelas M1 dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan sempena Malaysia Festival of Speed (MFOS) 2026 di Sepang, Selangor baru-baru ini.-UTUSAN/FB Malaysia Festival Of Speed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemandu dari Perlis, Azrul Azhar Norbakari bersama jurupandu arah, Muhammad Irfan Azman sekali lagi mencipta kejayaan sensasi di Malaysia Festival of Speed (MFOS) 2026 di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Mereka yang memandu kenderaan jenis Proton Satria itu muncul juara P1 dalam kelas M1 dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan kejohanan edisi tahun ini.

Kejayaan tersebut turut meneruskan pencapaian cemerlang apabila meraih kejuaraan dua tahun berturut-turut termasuk dalam edisi 2025.

Perlumbaan tersebut berlangsung dengan jarak keseluruhan kira-kira 30 kilometer (km) merangkumi sembilan special stage (SS) yang mencabar kemampuan pemandu dan jentera.

Azrul Azhar berkata, dia merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengurus pasukan LMC Racing, Noor Azman kerana memberi kepercayaan dan menjemputnya memandu bersama pasukan itu dalam perlumbaan kali ini.

AZRUL Azhar Norbakari dan jurupandu arah, Muhammad Irfan Azman bersama pasukan bersempena Malaysia Festival of Speed (MFOS) 2026 di Sepang, Selangor baru-baru ini.-UTUSAN

“Saya sangat berterima kasih kepada tuan guru Azman dan seluruh keluarga besar LMC Racing kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memandu untuk pasukannya.

“Bagi saya, peluang dan kepercayaan seperti ini sangat bermakna. Alhamdulilah, dengan sokongan penuh pasukan, kami berjaya memberikan yang terbaik dan mempertahankan kejuaraan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada LMC Racing, Darsa Lube serta semua kru yang bekerja keras sepanjang perlumbaan.

“Kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi hasil kerja dan sokongan seluruh pasukan,” katanya di sini semalam.

Sebagai anak jati Perlis, Azrul Azhar juga amat berbangga dapat membawa nama Perlis ke pentas motorsport dan mengharumkan nama negeri.

Dia seterusnya berharap pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat untuk terus aktif dalam arena motorsport serta membuka lebih banyak peluang kepada pelumba muda dari Perlis diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×