PETALING JAYA: Pas bersama rakan komponennya bersedia bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya rundingan kerjasama termasuk Barisan Nasional (BN) gagal mencapai persetujuan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jentera parti dan rakan komponen telah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk jika kerjasama politik dapat diwujudkan atau sebaliknya.
“Bagi kami, itu hak Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan perundingan dengan mana-mana pihak. Pas bersedia sama ada kerjasama atau sebaliknya.
“Apa yang penting, jentera parti dan rakan komponen telah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dan kita perlu berdiri di atas kekuatan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan gabungan itu akan mengadakan rundingan dengan dua pihak secara berasingan minggu depan bagi membincangkan kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pertemuan itu diatur pada tarikh dan waktu berbeza serta akan diwakili Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti dua pihak berkenaan sama ada membabitkan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau parti lain.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, persiapan jentera Pas bagi menghadapi PRN Melaka sudah dimulakan sebelum PRN Negeri Sembilan lagi.
“Bahkan, kami yakin rakyat akan terus bersama Pas dan rakan komponen dalam menghadapi PRN Melaka,” katanya. – UTUSAN











