ORACO, Jakoa bantu selesai isu tanah Orang Asli - Utusan Malaysia

ORACO, Jakoa bantu selesai isu tanah Orang Asli

ANTARA kontinjen yang menyertai perarakan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Jengka dari Stadium Tun Abdul Razak Jengka ke Balora Mastika Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) bagi menyelesaikan isu tanah serta memastikan kepentingan masyarakat Orang Asli setempat terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerjasama itu penting termasuk mengenal pasti penduduk asal yang benar-benar layak menerima manfaat tanah dan pembangunan.

Menurutnya, beliau sendiri sudah turun ke Bera dan meminta senarai nama penduduk Orang Asli setempat disediakan bagi membolehkan semakan serta tindakan susulan dibuat.

“Kita mahu tengok senarai nama orang kampung. Kalau Orang Asli Bera, biarlah Orang Asli Bera yang dapat. Kita tidak mahu orang dari Lipis atau Johor pula masuk. Saya masih menunggu senarai nama daripada penduduk Orang Asli setempat untuk disalurkan kepada JAKOA supaya kita boleh bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Jengka, Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Balora Mastika di sini hari ini.

Syed Ibrahim berkata, pada masa sama kerajaan negeri tidak akan membiarkan pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi nama Orang Asli untuk meneroka atau menguasai tanah secara haram.

Beliau berkata, tanah yang diteroka tanpa kebenaran perlu dikembalikan kepada kerajaan sebelum status dan kegunaan seterusnya ditentukan, termasuk untuk pembangunan serta kepentingan masyarakat setempat.

Menurutnya, sebanyak 32 kampung Orang Asli sudah diwartakan, manakala 32 lagi sedang melalui proses termasuk kerja pengukuran serta urusan tanah dengan agensi berkaitan.

Katanya, kerajaan negeri bersama Jakoa dan ORACO akan terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan isu tanah, kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli diselesaikan secara teratur serta manfaatnya dinikmati komuniti yang benar-benar layak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×