Mereka nampak saya, wajah saya - kata Rehman detik tular dengan Anwar - Utusan Malaysia

Mereka nampak saya, wajah saya – kata Rehman detik tular dengan Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: “Saya gembira, sangat gembira. Orang ramai melihat saya. Sekurang-kurangnya mereka nampak saya, wajah saya. Wajah saya ditunjukkan di seluruh dunia,” kata M Rehman yang bermain piano ketika mengiringi nyanyian lagu klasik Kishore Kumar, Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hantaran asal pada platform X milik Anwar telah mencatat lebih 1.4 juta tontonan dan angka itu terus meningkat. Video berdurasi satu minit 32 saat berkenaan telah tular di India dengan pelbagai perkongsian, komen positif serta pujian di pelbagai platform media sosial.

Bagaimanapun, detik itu bukanlah berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil persiapan rapi seorang pemain piano berusia 45 tahun yang berjaya merebut peluang keemasan itu.

Ketika ditemui BERNAMA, Rehman yang juga guru muzik barat berkata beliau dimaklumkan tentang penginapan Perdana Menteri di hotel berkenaan semasa Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.

“Pada Jumaat, mereka memaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia mungkin datang dan beliau begitu meminati lagu-lagu Hindi. Jadi, saya membuat kajian tentang lagu kegemaran beliau dan memberitahu diri saya bahawa saya mesti boleh memainkan apa sahaja lagu yang diminta beliau,” kata Rehman yang menjadi pemain piano selama 22 tahun.

Keesokan harinya, ketika sedang berehat, Rehman terlihat Perdana Menteri memasuki kawasan restoran, lokasi piano itu diletakkan.

Beliau bergegas kembali untuk membuka piano dan mula memainkan alat muzik itu.

“Perdana Menteri sebenarnya menuju ke tempat lain, tetapi beliau datang kepada saya apabila saya mula memainkan satu daripada lagu kegemaran beliau Dosh Dosh Na Raha (daripada filem Sangam) dan beliau mengubah arah lalu datang kepada saya,” katanya yang begitu teruja dan menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang mesra dan meminati lagu Hindi.

Bagi kebanyakan rakyat India, melodi malar segar lagu Kishore sememangnya begitu dekat di hati, menjadikan nyanyian Perdana Menteri itu satu kejutan yang mengujakan, sekali gus mengimbau nostalgia terhadap daya tarikan berpanjangan penyanyi legenda berkenaan.

Oleh itu, kejadian tular berkenaan bukan sahaja hasil persediaan dan ketepatan masa yang diperoleh Rehman, tetapi juga kehebatan lagu yang menghubungkan dua negara menerusi satu persembahan yang ikhlas.

Lagu daripada filem Hindi pada 1965, Teen Devian, itu adalah antara karya klasik Kishore yang amat digemari, dan persembahan Anwar menawarkan jambatan muzik yang tidak diduga antara Malaysia dengan India.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×