SEREMBAN: “Saya masih tidak percaya dia sudah tinggalkan kami.”
Demikian luahan bapa kepada juruterbang, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 29, yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang semalam.
Bee Sham Ahmad, 59, berkata, dia pada awalnya menyangka kejadian berkenaan tidak melibatkan kehilangan nyawa sebelum mendapat pengesahan mengenai nasib anaknya itu.
“Saya dapat tahu mengenai kejadian ini kira-kira pukul 5.15 petang selepas dimaklumkan oleh anak kelapan saya yang mendapat maklumat daripada rakannya.
“Pada awalnya saya ingatkan ia hanya nahas biasa dan tidak melibatkan kehilangan nyawa kerana sebelum ini ada juga kejadian seperti itu, tetapi semua penumpang selamat.
“Bagaimanapun, saya kemudian menghubungi rakan yang bekerja bersama arwah di Miri dan dia mengesahkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Bee Sham berkata, dia sekeluarga masih sukar menerima berita berkenaan, lebih-lebih lagi selepas kali terakhir bertemu arwah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, bulan lalu.
“Dia terlalu muda. Saya masih tidak percaya dia sudah tinggalkan kami,” katanya.
Katanya, sehari sebelum nahas, arwah sempat menghubungi ibunya, Zaiton Muda, 59, dan mereka berbual hampir sejam setengah mengenai keluarga.
“Sehari sebelum kejadian, dia juga sempat telefon ibunya dan mereka berbual biasa kira-kira sejam setengah.
“Dia seorang yang ceria, bertanggungjawab dan baik. Memang cita-citanya untuk menjadi juruterbang sejak di bangku sekolah,” katanya.
Katanya, arwah yang merupakan anak keempat daripada 12 beradik itu sudah bekerja sebagai juruterbang ketika berusia 21 tahun.
Bee Sham berkata, dia bersama isteri, tiga anak serta ibu dan bapa mentua arwah telah ke Miri, Sarawak hari ini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.
“Saya difahamkan jenazah masih berada di lokasi kejadian dan kami berharap semua urusan dipermudahkan serta dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Negeri Sembilan.
“Sampel DNA saya juga akan diambil sebaik tiba di sana bagi tujuan pengecaman,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, pada pukul 3.58 petang semalam.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan menerima notifikasi mengenai nahas berkenaan daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.
Selain Kapten Zainol Afiq, mangsa lain dikenal pasti sebagai Dr. Ainul Baraah, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Alexson Adit serta jururawat (SN) Debra Moset dan SN Jessie Paya.-UTUSAN.










