Bot bocor dan terbalik, seorang lagi mangsa ditemukan maut

Bot bocor dan terbalik, seorang lagi mangsa ditemukan maut

BOT yang dinaiki tujuh pemancing bocor sebelum karam akibat dipukul ombak besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tragedi yang menimpa tujuh pemancing termasuk seorang tekong di perairan berhampiran Permatang Sedepa di sini, Ahad lalu berpunca daripada bot dinaiki mereka bocor akibat dipukul ombak besar.

Kesemua mereka dikatakan cuba menyelamatkan diri de­ngan menghampiri rumah api di situ.

Khairul Muhidin, 47, yang merupakan bapa saudara kepada mangsa yang masih hilang, Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, berkata, situasi itu diceritakan oleh isteri Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, yang ditemukan selamat pada Selasa lalu.

“Menurut mangsa yang selamat, bot dinaiki mereka bocor dan menuju ke rumah api. Kemudian, tekong terbabit (Zulfilkalnain Awang, 47) sempat mengikat bot pada jeti, bagaimanapun tali ikatan terputus akibat air masuk ke dalam bot dan dipukul ombak.

“Selepas itu, bot mereka terbalik lalu hanyut menjauhi rumah api sehingga memasuki laluan kapal dagang. Ketika itu, mereka bertujuh masih ada ber­sama-sama sehinggalah dilanggar kapal dagang,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini semalam.

KHAIRUL Muhidin menunjukkan gambar Muhammad Rizuan Ruhaizat yang dikatakan biasa turun ke laut dalam untuk memancing, namun hilang selepas keluar memancing di Permatang Sedepa, Klang.

Pada Ahad lalu, Muhammad Ridzuan bersama enam sekawan iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal, Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43; Zulfikalnain dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, keluar memancing bagi mencari ikan cencaru.

Mereka dikatakan keluar bersama menaiki bot bersaiz 30 ka­ki panjang dan lapan kaki lebar menuju ke Permatang Sedepa kira-kira 23.5 batu nautika (43 kilometer) dari Jeti, Sementa kira-kira pukul 8 pagi.

Bagaimanapun, selepas dila­porkan hilang, empat daripada mereka iaitu Mohd. Shairazi, Muhd. Hamiszar, Mohd. Rizal dan Zulfilkalnain dijumpai selamat dalam keadaan lemah oleh nelayan pukat tunda pada Selasa lalu, di perairan Sekinchan, Sabak Bernam.

Kemudian, pada pagi kelmarin, jenazah Allahyarham Mohd. Shahril dijumpai dalam keadaan terapung dan diikat dengan tong serta jaket keselamatan, kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.

Jelas Khairul, susulan dilanggar kapal, dua daripada mereka didakwa terpisah menyebabkan lima yang tinggal termasuk disah­kan meninggal dunia semalam sempat mengikat tali antara satu sama lain kerana bot tempat mereka berpaut itu musnah.

“Sebelum bot terbalik, mereka sempat memakai jaket ke­selamatan. Kemudian selepas dilanggar kapal, mereka ikat untuk berpaut antara satu sama lain supaya tidak terpisah.

“Kemudian mereka hanyut sehinggalah empat ditemui oleh nelayan pukat tunda pada hari ketiga selepas bot karam,” ujarnya.

Sementara itu, perkemba­ngan terbaharu semalam pihak SAR menemukan satu lagi mayat lelaki dipercayai antara dua pemancing yang dilaporkan dicari pada hari keempat terapung dalam keadaan memakai jaket keselamatan di perairan Hutan Melintang, Perak.

Mayat berkenaan ditemukan kira-kira pukul 4.26 petang oleh sebuah bot nelayan sebelum dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak.

Pegawai Operasi Maritim Malaysia Selangor, Leftenan Mohd. Syafiq Sazali berkata, mayat terbaharu itu ditemukan pada jarak kira-kira 3.7 kilometer dari lokasi mayat Mohd. Shahril Abd. Rahman kelmarin dan pengesahan mayat sedang dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×