Black Fire bakal tampil dengan album baharu tahun depan - Utusan Malaysia

Black Fire bakal tampil dengan album baharu tahun depan

ANGGOTA Black Fire merakamkan gambar bersama selepas majlis menandatangani MoU di pejabat urusan MEP21, Kangar, Perlis hari ini -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kumpulan muzik underground terkenal, Black Fire yang pernah mencipta nama dalam genre metal sekitar era 80-an bakal menerbitkan album baharu menjelang tahun hadapan.

Album itu bakal diterbitkan selepas kejayaan penganjuran konsert The Enourmous Wrath UK Tour 2025 pada April tahun lalu dan The Black Fire Coming Home pada Ogos lepas.

Pemain gitar utama selaku ketua kumpulan itu, Subri Bahari berkata, buat masa ini, semua persiapan telah dijalankan dan mereka kini hanya sedang menunggu proses bagi merekod lagu untuk dimuatkan dalam album berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Muzik kita juga akan tetap mengikut perubahan zaman walaupun eleman-elemen lama itu tetap dikekalkan. Jadi kita akan gabungkan antara cara baharu dengan lama bagi menghasilkan lagu untuk dimuatkan dalam album ini,” katanya pada akhbar di pejabat urusan MEP21 di sini hari ini.

Terdahulu turut berlangsung sesi pementeraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MEP21 dengan Black Label Production bagi meneroka kerjasama lebih luas menerusi pembangunan barang dagang rasmi kumpulan Black Fire, pelancongan muzik, kandungan kreatif serta jaringan pemasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebagai rekod, Black Fire dianggotai oleh Subri; Eekram Ibrahim (vokalis); Mohd Ezrin Abd Ghani (gitar); Mohd Abdul Hakim (bass) dan Mohamad Asri Othman (drum).

Sementara itu, Pengarah Black Label Production, Zahiri Zulkifly berkata, album baharu itu juga bakal memuatkan lapan lagu termasuk dua daripadanya merupakan lagu lama yang diberi nafas semula iaitu Kemenangan Saat Akhir dan Sengketa Di Balik Awan.

“Album baharu ini akan didatangkan dalam format digipack dan keluaran khas piring hitam memandangkan kita ada usahasama dengan beberapa record label di United Kingdom.

“Kita juga sasarkan untuk keluarkan 1,000 salinan termasuk piring hitam, digitpack dan sedikit kaset. Malah tak dilupakan juga melalui digital platform yang mana kita akan keluarkan lagu lebih awal di sana sebelum keluarkan hard copy,” katanya.

Tambahnya, semasa pelancaran album Black Fire pada Julai 2023, kumpulan itu turut meraih tempat pertama dalam carta radio di Amerika Syarikat.

“Oleh itu, saya berharap penghasilan album baharu ini akan turut memberikan aura yang sama khususnya dengan penerbitan dua lagu yang diberi nafas baharu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×