PETALING JAYA: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia berdepan tekanan daripada ketidaktentuan pasaran global, perubahan kos bahan mentah serta gangguan rantaian bekalan yang boleh memberi kesan kepada kos operasi dan margin perniagaan.
Dalam mendepani persekitaran ekonomi yang kompleks, kelangsungan PMKS bukan sahaja bergantung kepada keupayaan perniagaan menyesuaikan diri, malah memerlukan sokongan bersepadu melalui intervensi kerajaan dan kerjasama pelbagai pihak bagi melindungi peluang pekerjaan rakyat.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, kestabilan kos pengangkutan dan logistik penting bagi membantu peniaga merancang aliran tunai serta kos operasi dengan lebih baik ketika berdepan ketidaktentuan pasaran global.
Katanya, bantuan kepada PMKS juga perlu disesuaikan dengan keperluan sebenar perniagaan, termasuk dari segi peralatan, digitalisasi, latihan dan operasi.
“Peranan persatuan peniaga amat kritikal sebagai perantara untuk mendidik dan membimbing ahli agar inisiatif serta dasar yang diperkenalkan kerajaan sampai ke peringkat bawah dengan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, usaha mengekalkan pekerja sedia ada serta berpengalaman adalah amat penting bagi memastikan kesinambungan operasi dan pemulihan perniagaan berjalan lancar.
“Automasi dan penggunaan teknologi juga boleh membantu PMKS meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan mengukuhkan kecekapan operasi,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, peningkatan kos bahan mentah, tenaga, logistik dan operasi memberi tekanan yang sangat besar kepada PMKS kerana sebahagian besar daripada mereka beroperasi dengan margin keuntungan yang terhad.
Katanya, kebanyakan PMKS tidak mempunyai kuasa pasaran yang mencukupi untuk memindahkan sepenuhnya beban kenaikan kos tersebut kepada pelanggan melalui kenaikan harga jualan.
“Apabila harga bahan mentah meningkat, kos pengeluaran turut meningkat. Pada masa yang sama, kenaikan kos elektrik, bahan api dan pengangkutan menyebabkan kos operasi menjadi lebih tinggi.
“Akibatnya, margin keuntungan semakin mengecil dan syarikat terpaksa menuntut modal kerja yang lebih tinggi untuk membeli stok serta menampung perbelanjaan harian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan ekonomi global pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding kitaran biasa kerana dicetuskan oleh pelbagai faktor serentak seperti konflik geopolitik, ketegangan perdagangan antarabangsa, gangguan tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan pasaran kewangan.
“Gangguan rantaian bekalan ini menyebabkan kelewatan penghantaran bahan mentah serta peningkatan kos import yang merencatkan produktiviti syarikat.
“Bagi PMKS yang mempunyai sumber kewangan terhad, tekanan yang berpanjangan berpotensi menyebabkan penangguhan pengambilan pekerja baharu, mengehadkan kenaikan gaji atau menyemak semula keperluan tenaga kerja,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu perniagaan menghadapi tekanan ekonomi melalui pelbagai bentuk intervensi fiskal dan ekonomi.
“Bantuan aliran tunai dan pembiayaan boleh memberi ruang kepada PMKS memenuhi keperluan jangka pendek, manakala sokongan terhadap digitalisasi, latihan dan peningkatan produktiviti membantu mengurangkan tekanan operasi dalam jangka sederhana.
“Bagi mendepani cabaran ini, PMKS digalakkan menjadi lebih fleksibel dan inovatif dengan mengamalkan pengurusan kos yang lebih ketat, meningkatkan penggunaan teknologi digital serta automasi, di samping mempelbagaikan sumber pembekal dan pasaran bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu punca sahaja,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan keperluan strategi mitigasi makro yang menyeluruh terhadap amaran limpahan gangguan tenaga kepada sektor strategik seperti makanan, perubatan dan pembuatan.
“Kerajaan perlu memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kepelbagaian sumber, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, membina simpanan strategik dan memastikan setiap bentuk bantuan dilaksanakan secara bersasar agar tidak membebankan kedudukan fiskal negara.
“Oleh itu, pendekatan menyeluruh atau whole-of-nation yang menggabungkan dasar kondusif kerajaan, peningkatan produktiviti sektor swasta serta perbelanjaan berhemah rakyat amat diperlukan untuk memastikan ekonomi Malaysia dan sektor PMKS terus mampan, stabil dan berdaya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan global untuk jangka panjang,” katanya.-UTUSAN.











