KOTA BHARU: Siri serangan bom di 51 lokasi di Selatan Thailand memberi tempias kepada sektor pelancongan apabila kira-kira 10 peratus pelancong dari Malaysia membatalkan tempahan ke Pattani, Yala dan Narathiwat setakat semalam.
Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata, selain pembatalan, terdapat pelancong yang memilih menangguhkan perjalanan sambil menunggu perkembangan terkini situasi keselamatan di tiga wilayah berkenaan.
“Setakat hari ini (semalam), kira-kira 10 peratus pelancong membatalkan tempahan. Bagaimanapun, tempahan hotel bagi 28 hingga 30 Ogos masih tinggi di beberapa kawasan sekitar Selatan Thailand.
“Hotel di Pattani dilaporkan penuh manakala Sungai Golok turut menerima tempahan penuh bagi tempoh sama. Kami masih menunggu perkembangan seterusnya kerana semua pelancong sedang memantau situasi semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aida berkata, keadaan di Hat Yai masih seperti biasa dan tidak terjejas dengan siri serangan tersebut.
Sementara itu, pengendali perkhidmatan pelancongan ke Thailand, Zulkifli Hashim mengakui terdapat pelanggan mula membatalkan tempahan ke negara gajah putih itu sempena cuti Hari Kemerdekaan.
Katanya, tindakan itu diambil pelanggan kerana mereka bimbang dengan soal keselamatan di negara berkenaan ketika ini.
“Saya harap suasana di Thailand segera pulih kerana situasi ini boleh menjejaskan sumber pendapatan ejen pelancongan,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Wilayah selatan Thailand kini tidak selamat untuk dikunjungi rakyat Malaysia berikutan insiden keganasan dan letupan bom yang berlaku di Selatan negara itu malam semalam.
Sebanyak 51 insiden keganasan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam.
Serangan bermula sekitar pukul 8 malam itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar, selain turut mencederakan orang awam.
Sehubungan kejadian itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand jika tiada urusan penting.
Katanya, walaupun tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam siri serangan berkenaan, perkembangan itu perlu dipandang serius. – UTUSAN











