Tragedi platform feri 1988 masih segar dalam ingatan Dr. Rozi

Tragedi platform feri 1988 masih segar dalam ingatan Dr. Rozi

MOHAMAD Rozi Yusof menunjukkan keratan Utusan Malaysia tentang laporan tragedi platform runtuh di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 38 tahun lalu, satu peristiwa hitam menggemparkan negara apabila platform jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang runtuh akibat muatan berlebihan menyebabkan 32 mangsa maut manakala 1,543 lagi cedera.

Kejadian pada pukul 4.40 petang, 31 Julai 1988 itu berlaku semasa puluhan ribu orang berasak-asak untuk menaiki feri bagi menyambut perayaan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St. Anne di Bukit Mertajam.

Jeti yang runtuh itu mengakibatkan pengunjung di situ menggelongsor dan terjatuh ke laut, manakala tiang dan kayu binaan berat turut menghempap sebahagian besar mangsa.

Namun, ramai yang tidak tahu ketika kejadian itu hanya seorang doktor bertugas di Hospital Daerah Butterworth dan terpaksa menggalas tanggungjawab berat merawat dan membuat keputusan segera hingga menguji ketahanan mental dan fizikalnya.

Menurut Dr. Mohamad Rozi Yusof, 78, pegawai perubatan lain bercuti pada hari itu kerana Pulau Pinang diwartakan cuti umum oleh kerajaan negeri.

“Sebaik dimaklumkan perlu rawat ribuan mangsa cedera serta ada yang mati, saya segera solat sunat taubat dan berdoa agar diberi kekuatan. Ini situasi kecemasan paling besar pernah dihadapi sepanjang bergelar pegawai perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Dr. Mohamad Rozi, katil hospital itu penuh sehingga ada mangsa diletakkan di laluan pejalan kaki dan ruang menunggu, selain terpaksa memanggil kesemua doktor dan jururawat yang bercuti untuk bertugas.

“Saya turut memberi kebenaran khas kepada jururawat berpengalaman untuk memberi suntikan dan melakukan jahitan kepada mangsa yang cedera kerana kekurangan kakitangan,” katanya.

Ujarnya, suasana ketika itu menjadi kelam kabut apabila hospital berkenaan bukan sahaja dipenuhi pesakit tetapi diserbu oleh ramai waris hingga keadaan menjadi sukar dikawal.

“Saya terpaksa minta polis mengawal keadaan kerana kesesakan itu mengganggu tugas kami. Tidak lama kemudian kami mula terima bungkusan berisi 32 mayat, namun disebabkan kekurangan bilik sejuk mayat terpaksa diletakkan di bahagian luar bilik X-ray.

“Saya juga menghubungi beberapa buah kilang ais di Bagan Ajam dan Kampung Perlis merayu mereka menghantar bekalan ais untuk diisi di dalam beg mayat sementara proses bedah siasat dijalankan,” katanya.

Tambahnya, berikutan hospital itu telah dipenuhi pesakit, beliau kemudian menghubungi pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth untuk menggunakan ambulan bagi membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital terdekat di Kulim dan Sungai Bakap.

“Selain itu, pihak TUDM turut memberikan helikopter untuk menerbangkan pesakit yang berada dalam keadaan parah ke hospital di Pulau Pinang.

“Walaupun bertugas dalam keadaan letih dan baju dipenuhi darah sehingga keesokan harinya, namun semua petugas terlibat tidak mengeluh dan buktinya tiada satu pun teguran atau maklum balas negatif diterima sepanjang kami memberikan perkhidmatan.

“Kami juga tidak pernah mengeluh walaupun tidak menerima sebarang penghargaan kerana apa yang dilakukan adalah berdasarkan tanggungjawab kepada pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN