SHAH ALAM: Selangor akan menganjurkan Muzakarah Ulamak Turath Kebangsaan bagi membincangkan hal berkaitan pendidikan dan kemaslahatan umat Islam mutakhir ini.
Muzakarah julung kali diadakan itu dijangka menghimpunkan sehingga 150 tokoh ilmuwan Islam dalam dan luar negara sempena Festival Turath Islami 2026 yang akan dianjurkan bermula 13 sehingga 20 September ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, muzakarah berkenaan menjadi platform penting bagi mencari penyelesaian dalam kaedah pendidikan Islam serta cabaran semasa yang dihadapi umat ketika ini.
“Ia akan mempertemukan ulama serta cendekiawan Islam dari seluruh negeri bagi membincangkan perkembangan ilmu Islam serta isu berkaitan perkembangan Islam secara keseluruhannya.
“Penyatuan pemikiran dalam muzakarah tersebut yang diperlukan untuk mengembangkan serta mengelakkan sebarang kecelaruan ataupun perbezaan-perbezaan tertentu. Jadi muzakarah itu penting,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Induk Festival Turath Islami Selangor 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, muzakarah yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijangka menggabungkan usaha mendidik masyarakat melalui penyelesaian terhadap pendidikan Islam yang formal dan tidak formal.
Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan seramai 50,000 orang dijangka hadir pada festival tersebut yang akan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kawasan sekitarnya.
“Festival kali ini bertemakan ‘Hikmah Warisan Islam’ akan mengenengahkan karya Al-Hikam al-Ata’iyyah oleh tokoh besar tasawuf Islam iaitu, ibnu Atha-illah As-Sakandari.
“Ia juga akan menampilkan sekali tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah termasuk 23 tokoh ulamak tempatan dan antarabangsa dalam 42 sesi pengajian,” jelasnya. – UTUSAN










