Sasar bangunkan 10,000 usahawan menerusi inisiatif Halal@Agrobank

Sasar bangunkan 10,000 usahawan menerusi inisiatif Halal@Agrobank

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kanan) ketika melancarkan program Halal@Agrobank sempena Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Pihex) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Agrobank menyasarkan pembangunan sehingga 10,000 usahawan dalam tempoh lima tahun khususnya bagi mereka yang terlibat dengan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah inisiatif yang baharu sahaja diperkenalkan iaitu Halal@Agrobank.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, selain pembangunan usahawan, pihaknya turut menyasarkan sebanyak 1,500 perniagaan mampu memperoleh pensijilan halal menerusi Pelan Hala Tuju Halal Agrobank 2026-2030 bagi tempoh yang sama.

“Inisiatif Halal@Agrobank ini merupakan langkah strategik Agrobank dalam memperluas peranan pembangunannya ke dalam ekosistem halal negara.

“Mengikut laporan Malaysia Halal Export Performance 2021-2025, nilai ekosistem halal global dijangka mencecah antara 9.5 hingga 10.5 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan RM38.8 hingga RM42.9 trilion menjelang 2030 sekali gus menjadikannya antara ekosistem ekonomi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia.

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tengah) menerangkan kepada pengunjung mengenai program Halal@Agrobank sempena Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Pihex) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP).

“Ini secara tidak langsung akan membuka peluang yang besar kepada usahawan agromakanan tempatan untuk meningkatkan daya saing, memenuhi piawaian halal yang ditetapkan serta menembusi pasaran halal yang lebih luas,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Terdahulu, inisiatif Halal@Agrobank itu diperkenalkan sempena Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Pihex) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini yang disempurnakan peluncurannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dipacu oleh enam teras strategik utama, inisiatif itu antara lain merangkumi pendedahan dan kesiapsiagaan halal, pembangunan kapasiti dan keusahawanan, fasilitasi pensijilan dan khidmat nasihat halal, pertumbuhan perniagaan dan pengembangan pasaran, pembangunan ekosistem halal serta transformasi digital dan data pintar.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Halal@Agrobank juga menyediakan sokongan menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada pembiayaan, malah turut merangkumi pembangunan kapasiti, bimbingan perniagaan, kesiapsiagaan pensijilan halal serta pengukuhan akses pasaran.

“Melalui pendekatan holistik seperti ini, Agrobank berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan yang membangunkan perniagaan berorientasikan halal, berdaya tahan, inovatif dan mampu bersaing di pasaran tempatan serta antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa masih terdapat tanggapan bahawa sesuatu produk itu mudah dianggap halal hanya kerana ia dihasilkan oleh usahawan Muslim sedangkan pensijilan halal mempunyai proses serta piawaian yang jelas dan memerlukan pematuhan yang konsisten di setiap peringkat operasi perniagaan.

“Keunikan inisiatif Halal@Agrobank sebenarnya terletak pada pendekatannya yang menyeluruh dalam membantu usahawan agromakanan menyertai ekosistem halal secara lebih tersusun.

“Ia merangkumi pembiayaan patuh Syariah, khidmat nasihat dan pensijilan halal, latihan dan pembangunan kompetensi, bimbingan perniagaan, pembangunan produk dan penjenamaan, akses pasaran dan eksport serta pembangunan rangkaian strategik,” jelas beliau.

Tambahnya, inisiatif Halal@Agrobank diwujudkan bagi membantu usahawan memahami keperluan sebenar industri halal dan menyediakan mereka untuk bergerak ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dari aspek pensijilan, tetapi juga dari segi pembiayaan, produktiviti, penjenamaan dan pengembangan pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN