KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan tayangan khas filem bertajuk Mojoku Hilang di Golden Screen Cinemas (GSC), Kangar Jaya Mall baru-baru ini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan pelakon utama filem tersebut, antaranya Mimi Lana dan pelakon terkenal Indonesia, Adipati Dolken selain penerbit, pengarah serta tetamu jemputan daripada pelbagai agensi dan industri kreatif.
Mojoku Hilang merupakan sebuah karya sinematik amat bermakna buat Perlis apabila 90 peratus daripada penggambaran dilaksanakan di pelbagai lokasi menarik di negeri ini.
Filem arahan pengarah berkaliber, Min Lim itu turut mendapat sokongan dan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam memastikan keunikan budaya, loghat tempatan serta identiti visual Perlis diterjemahkan secara autentik dan berkesan ke layar perak.
Selain mengangkat kisah yang menyentuh emosi, filem berkenaan turut menampilkan keindahan landskap semula jadi, warisan budaya dan nilai masyarakat Perlis yang berpotensi memperkukuh lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan dan lokasi pilihan bagi industri penggambaran negara.-UTUSAN










