Pulau pelancongan Terengganu tiada sistem kumbahan bersepadu

Pulau pelancongan Terengganu tiada sistem kumbahan bersepadu

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Te­rengganu mengesahkan semua pulau pelancongan di ne­geri itu, termasuk Pulau Redang, masih belum mempunyai sistem pe­ngurusan sisa pepejal dan loji rawatan kumbahan yang lengkap.

Exco Pelancongan, Kebuda­ya­an, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris bagaimanapun berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan pembinaan loji rawatan kumbahan di Pulau Perhentian sebagai projek pe­rintis bagi menangani isu ber­kenaan.

Menurutnya, projek yang kini dalam fasa pembinaan melibatkan penempatan nelayan di Kampung Pulau Perhentian dan dijangka siap menjelang 2030 sebelum dijadikan model bagi memperkukuh sistem pembetungan di pulau-pulau pelancongan lain.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu pengurusan sisa pepejal dan sistem kumbahan di semua pulau pelancongan, termasuk Pulau Redang.

“Bagi aspek pembetungan, pembinaan loji rawatan kumbahan di Pulau Perhentian yang sedang dilaksanakan dijangka memperkukuh sistem pengurusan kumbahan sedia ada serta memenuhi keperluan pembetungan di kawasan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia bertajuk ‘Neraka’ sampah di pulau pera­nginan, yang membongkar lambakan sampah di dasar dan pesisir laut Kampung Baru Pulau Redang, termasuk sisa yang dipercayai hanyut dari luar negara.

Susulan pendedahan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melaksanakan operasi pembersihan menggunakan dua bot berkapasiti 12 tan bagi mengutip sampah di sekitar pulau berkenaan.

Mengulas langkah jangka panjang, Razali berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan mengehadkan jumlah pelancong ke Pulau Redang sekiranya pemantauan teknikal pada masa hadapan mendapati kehadiran pengunjung memberi tekanan terhadap ekosistem marin.

Namun, katanya, pelaksana­an kuota harian seperti di Pulau Sipadan, Sabah masih belum diperlukan kerana kajian daya tampung (carrying capacity) mendapati jumlah pelawat ketika ini masih dalam had yang disyorkan.

“Kerajaan negeri komited memastikan kelestarian ekosistem marin di Pulau Redang terus dipelihara demi melindungi biodiversiti laut, keindahan alam sekitar dan kelangsungan industri pelancongan secara mampan.

“Melalui Pelan Induk Pembangunan Pulau-Pulau Peranginan dan Taman Laut Negeri Terengganu 2030, kajian daya tampung telah dilaksanakan di pulau-pulau utama termasuk Pulau Redang.

“Dapatan kajian menunjukkan jumlah pelawat ketika ini masih dalam kapasiti yang dibenarkan. Sekiranya pemantauan teknikal pada masa hadapan menunjukkan kehadiran pelancong boleh menjejaskan ekosistem, kerajaan negeri akan mempertimbangkan langkah pengurusan yang bersesuaian berdasarkan peni­laian saintifik serta nasihat agensi teknikal,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM900,000 bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf Jeti Kampung Pulau Redang bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia.

Katanya, peruntukan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu bertujuan meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan pengalaman pelancong melalui penyediaan fasiliti pintu masuk yang lebih baik.

Sementara itu, Razali berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu pengurusan sisa pepejal di pulau-pulau pelancongan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengemukakan surat hasrat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri itu.

“Status cadangan tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, manakala KPKT diminta menjalankan kajian lanjut bagi mengenal pasti kaedah mengurangkan kos pelaksanaan dalam jangka pendek dan panjang, mengambil kira peningkatan kos operasi serta harga bahan api ketika ini,” katanya. – UTUSAN

INFOGRAFIK

Lima langkah perkukuh pengurusan sampah di Pulau Redang bagi menjamin kebersihan pulau dan mengelakkan pencemaran termasuk di dasar laut oleh
Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa (PBT) :
1. Kutipan sampah setiap hari
* Kutipan sisa pepejal dilakukan secara harian bagi memastikan kawasan pulau sentiasa bersih.

2. Kontraktor pembersihan dilantik
* Operasi pembersihan dijalankan secara berterusan melalui kontraktor yang dilantik.

3. Teknologi pengurusan sisa
* Menggunakan mesin kompos dan insinerator untuk mengurangkan jumlah sisa yang perlu dibawa ke tanah besar.

4. Tambahan tong sampah awam
* Tong sampah disediakan di lokasi tumpuan pelancong bagi memudahkan pelupusan sisa.

5. Kempen kesedaran dan gotong-royong
* Program gotong-royong dan kempen kesedaran dilaksanakan bersama komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pengusaha pelancongan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN