SEREMBAN: Persefahaman yang terbentuk buat pertama kali di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini perlu dibuktikan menerusi keputusan kemenangan di peti undi pada 1 Ogos ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, persefahaman kedua-dua gabungan itu bukan hanya untuk PRN Negeri Sembilan malah akan diteruskan untuk pilihan raya seterusnya.
“Oleh itu saya harap kerjasama ini supaya betul-betul berlaku. Saya ulangi seruan saya supaya orang-orang PN iaitu Pas dan Wawasan untuk bekerja, juga turun ke kawasan BN, undi BN. Begitu juga orang BN bekerja dan undu di kawasan Pas dan Wawasan bertanding supaya dapat kemenangan.
“Ini mesti dan saya arah orang Pas, kalau di kawasan BN, undi BN dan kerja untuk mereka, Wawasan juga. Ini kerjasama dan ia merupakan strategi baharu yang kita atur, insya-Allah kalua menang di Negeri Sembilan kita akan atur lagi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di sini malam tadi.
Abdul Hadi menambah, BN dan PN adalah merupakan sebuah perikatan baharu bertujuan untuk menyelesaikan masalah dihadapi negara.
“Sebab itu kita ambil langkah, mengkaji semula kesilapan lalu. Saya harap semua pihak beri sokongan kepada gabungan ini, kerana ia bukan untuk hari ini sahaja tetapi juga untuk masa hadapan, generasi muda dan untuk semua kaum. Kita mahu hidup dalam masyarakat yang harmoni,” katanya.-UTUSAN.










