KUALA LUMPUR: Pelarian etnik Rohingya di Malaysia meminta pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak lepas tangan berkaitan isu melibatkan kebajikan mereka.
Seorang pelarian Rohingya, Muhammad Eliyas, 26, berkata, pengeluaran kad UNHCR untuk pelarian Rohingya dilihat tidak membantu jika tiada bantuan sokongan yang lain turut diberikan oleh organisasi itu.
Katanya, kehadirannya di Ibu Pejabat UNHCR semalam adalah untuk meminta bantuan kewangan dan sokongan demi kelangsungan hidup.
“Ada kad atau tiada kad, sama sahaja. Saya ada kad pun susah. Kaki saya sakit pun, tiada bantuan kesihatan diberikan.
“Saya sudah duduk di Malaysia selama 10 tahun tetapi tiada apa-apa bantuan diberikan. Saya hanya bergantung hidup pada ihsan masyarakat setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dia bersyukur dengan kemurahan hati rakyat Malaysia yang sentiasa membantunya meneruskan kehidupan walaupun berbeza kewarganegaraan.
“Orang Malaysia sangat baik. Mereka selalu tolong saya. Mereka beri saya sumbangan, makanan dan tempat tinggal. Tak banyak tapi sangat membantu.
“Jadi, saya membuat keputusan untuk datang ke sini agar pihak UNHCR turut membantu dan memberikan sokongan yang sepatutnya.
“Tapi mereka tidak membenarkan saya masuk dan berjumpa dengan individu yang sepatutnya. Jadi, saya membuat keputusan untuk berkampung di sini selama yang boleh,” katanya.
Sebelum ini, ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada sebuah NGO.
Pelarian Rohingya yang lain, Kira, 26, berkata, pengeluaran kad itu perlu disertakan dengan beberapa bantuan lain seperti peluang pekerjaan, kesihatan dan pendidikan.
Katanya, tanpa bantuan yang sepatutnya, nasib komuniti Rohinya ini seperti telur di hujung tanduk.
“Kami tak pernah minta hak kewarganegaraan pun. Kami hanya ingin bekerja dan tinggal di dalam negara ini dengan aman.
“Kami sudah tiada tempat untuk dituju, kami hanya ingin meneruskan hidup dengan tenang. Beri kami peluang untuk bekerja, kami bukan meminta hak orang lain,” katanya.
Jelas Kira lagi, UNHCR perlu peka dan mengambil berat tentang isu kebajikan pelarian Rohingya terutamanya pemegang kad UNHCR yang sah.
“Apa guna kad kalau tiada bantuan yang diterima? Kalau soal kebenaran untuk tinggal di Malaysia, ramai yang tiada kad pun dapat duduk di Malaysia.
“Ramai orang datang dari jauh untuk memohon dan memperbaharui kad tetapi apa kelebihan yang kami dapat dari kad ini?” soalnya. – UTUSAN










