Pahang sasar 35 emas, peruntuk RM12 juta hadapi Sukma Selangor - Utusan Malaysia

Pahang sasar 35 emas, peruntuk RM12 juta hadapi Sukma Selangor

TENGKU Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah (tengah) mengibarkan bendera pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Pahang ke Temasya Sukma dan Para Sukma Selangor sambil diperhatikan Fadzli Mohamad Kamal (dua dari kiri) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kontinjen Pahang menyasarkan kutipan 35 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026  manakala 15 pingat emas bagi temasya Para Sukma.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan potensi dimiliki atlet negeri ini termasuk dalam beberapa acara yang menjadi sandaran pingat emas.

Menurutnya, bagi memastikan persiapan kontinjen berjalan lancar, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi menghadapi Sukma dan Para Sukma kali ini.

“Peruntukan kali ini lebih besar kerana kontinjen Pahang lebih ramai selain buat pertama kali tiada perkampungan sukan, menyebabkan kerajaan negeri perlu menanggung kos penginapan, pengangkutan serta makan minum atlet dan pegawai.

“Alhamdulillah, menjelang temasya yang berbaki kira-kira 18 hari lagi, kita berjaya memperoleh peruntukan tambahan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang cukup prihatin terhadap keperluan atlet-atlet kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Pahang ke Temasya Sukma dan Para Sukma Selangor yang disempurnakan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Fadzli berkata, antara sukan yang dijangka menjadi penyumbang utama pingat emas ialah menembak selepas Pahang muncul juara keseluruhan acara itu pada Sukma Sarawak dengan kutipan 12 pingat emas.

Selain itu, katanya, Pahang turut meletakkan harapan kepada acara angkat berat, silat, memanah, judo, karate, taekwondo dan olahraga yang menunjukkan perkembangan positif sepanjang tempoh persiapan.

“Bagi Para Sukma, kita lebih berhati-hati dalam meletakkan sasaran kerana beberapa acara telah digugurkan selain ada atlet yang tidak melepasi penilaian untuk bertanding. Namun kita masih optimis mampu mencapai sasaran 15 pingat emas,” katanya.

Mengulas tentang ganjaran kepada atlet, beliau berkata, kerajaan negeri mengekalkan insentif RM6,000 bagi pemenang pingat emas individu Sukma dan Para Sukma seperti yang diberikan pada temasya sebelum ini.

Seramai 737 atlet negeri ini akan bertanding di Sukma kali ini yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos depan manakala 75 atlet akan ke Para Sukma yang akan berlangsung pada 5 hingga 10 September depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN