PETALING JAYA: Terdapat trend pelancong dari Eropah dan United Kingdom (UK) masuk ke negara ini dan menyeludup dadah termasuk bunga ganja, apabila pulang ke negara masing-masing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil risikan mendapati pelancong dari negara berkenaan lazimnya menginap di Malaysia selama dua hingga tiga hari sebelum berlepas pulang.
“Mereka membawa bunga ganja ini ke negara masing-masing untuk diproses menjadi ekstrak sebelum digunakan dalam produk vape.
“Ini kerana, bunga ganja mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Eropah,” katanya selepas menjadi tetamu podcast Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, individu yang menjadi keldai dadah kebanyakannya terperangkap dengan sindiket akibat bebanan hutang.
Selain itu, katanya, mereka diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu atau tertarik dengan ganjaran yang ditawarkan.
Menurut beliau, upah yang diberikan kepada keldai dadah di Malaysia dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi sesuatu tugasan.
“Kebiasaannya mereka akan menerima wang pendahuluan atau deposit terlebih dahulu. Selain itu, tiket penerbangan, penginapan hotel dan keperluan perjalanan turut ditanggung oleh sindiket.
“Sebagai balasan, mereka dikehendaki membawa bagasi yang mengandungi dadah. Ada antara mereka yang mengetahui kandungan bagasi tersebut manakala ada juga yang tidak menyedarinya,” jelasnya
Tambahnya, keldai dadah juga menyangka hanya membawa bagasi untuk diserahkan kepada pihak yang menaja atau menguruskan perjalanan mereka.
Dalam pada itu, Hussein berkata, majoriti individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 30-an.
Beliau berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, seramai 41 individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah telah ditahan dengan sembilan daripada mereka merupakan rakyat Malaysia.
“Daripada 41 individu itu, sembilan rakyat Malaysia. Ada yang ditahan di Macau, selain Taiwan manakala tangkapan terbaharu membabitkan seorang suspek di Sri Lanka,” jelasnya.
Menurut beliau, bukan semua mereka ditahan membawa dadah dari Malaysia kerana ada yang mendapatkan bekalan itu dari Thailand atau negara lain sebelum ditahan di negara destinasi.
“Ini menunjukkan mereka terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di negara lain dan bukan semata-mata membawa dadah dari Malaysia,” katanya.
Justeru itu, Hussein mengingatkan agar setiap individu yang ditawarkan pekerjaan atau diminta membantu membawa atau menyampaikan apa-apa bagasi kepada rakan mereka di negara lain supaya sentiasa berhati-hati.
Jelasnya, mereka seharusnya tidak menerima tawaran tersebut sekiranya tidak mengetahui isi kandungan bagasi berkenaan.
“Hanya terima tanggungjawab tersebut apabila anda benar-benar mengetahui dan yakin akan kandungan bagasi itu,” katanya. – UTUSAN










