PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru golongan usahawan di negeri ini supaya merebut peluang mendapatkan pensijilan halal sebagai langkah strategik memperkukuh daya saing perniagaan.
Baginda bertitah, pensijilan halal mencerminkan komitmen usahawan dalam memastikan setiap produk dan perkhidmatan mematuhi tuntutan syarak serta memenuhi piawaian kualiti, keselamatan dan kebersihan yang ditetapkan demi memelihara kesejahteraan ummah.
Titah baginda, pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna dan memperkukuh reputasi jenama, tetapi membuka akses pasaran lebih luas sekali gus memperkasakan pertumbuhan perusahaan tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Saya ingin menegaskan pensijilan halal hendaklah dihayati sebagai satu ibadah yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan serta dipikul sebagai satu amanah yang menuntut integriti dan akauntabiliti,” titah baginda merasmikan Program Pengiktirafan Zon Tayyibah, Amanah, ‘Afiyah dan Taharah (T.A.A.T) dan Pensijilan Halal Malaysia peringkat Perlis.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda turut menyarankan pihak berkuasa agar terus memainkan peranan proaktif memudah cara urusan usahawan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dan permohonan pensijilan halal demi memperkasakan ekosistem halal di Perlis.
“Saya berharap Perlis terus menjadi contoh dalam pembangunan ekosistem halal negara.Kempen Zon T.A.A.T. hendaklah menjadi pemangkin kesedaran dalam kalangan pengusaha premis makanan supaya mengamalkan nilai tayyibah, amanah, ‘afiyah dan taharah sebelum melangkah ke arah Pensijilan Halal Malaysia” titah baginda.-UTUSAN










