PETALING JAYA: Akta khusus bagi mengawal kaedah pungutan derma daripada orang ramai iaitu Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 (Akta 200) sudah lapuk dan ketinggalan zaman.
Peredaran masa dan kecanggihan teknologi menyebabkan akta itu tidak lagi mampu mengawal selia kutipan derma daripada orang awam terutama oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Peguambela dan peguamcara, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, sehubungan itu akta berkenaan perlu diperkasakan semula, jika tidak jenayah penyelewengan terhadap dana awam di negara ini akan terus berlaku.
Jelasnya, akta berkenaan sangat kurang diberikan perhatian malah kewujudannya juga tidak diketahui termasuk dalam kalangan pihak berkuasa sendiri.
“Keadaan itu menyebabkan kes pendakwaan di bawah Akta 200 terhadap penganjur yang mengutip derma atau merayu dana daripada orang awam tanpa lesen atau kebenaran yang sah amat jarang didengari.
“Keadaan ini telah diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengumpul derma dan dana awam dan kerap berlaku salah guna serta penyelewengan terhadap dana awam yang dikumpulkan itu hingga mencecah ratusan juta ringgit.
“Banyak kes-kes sedemikian dilaporkan dan sebahagian daripadanya pelaku-pelaku terlibat telah didakwa di mahkamah dengan pelbagai kesalahan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, kebanyakan pungutan dana daripada orang awam kini dilakukan oleh persatuan dan NGO melalui platform dalam talian atau media sosial.
“Kebanyakan kutipan tersebut dibuat dengan representasi bagi mendapatkan derma atau sumbangan daripada orang ramai.
“Kebanyakan pungutan dana awam juga tidak telus dan tidak diaudit dengan sempurna sekali gus membuka ruang berlakunya penyelewengan dalam pengurusan dana awam oleh pihak-pihak yang mengambil kesempatan daripada kelompongan dan kelemahan undang-undang,” katanya lagi.
Yaacob yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan menjelaskan, dalam Akta 200, pungutan ditakrifkan sebagai rayuan kepada orang ramai atau mana-mana golongan orang ramai yang dibuat melalui lawatan dari rumah ke rumah atau di jalan atau tempat awam lain.
Ia sama ada untuk memberi wang atau harta lain manakala pemungut ialah pihak yang membuat rayuan tersebut.
Hasil pula merujuk kepada semua wang dan harta lain yang diberikan sebagai menyambut rayuan yang dibuat manakala penganjur ialah seseorang yang menyebabkan orang lain bertindak sebagai pemungut bagi maksud pungutan, sama ada untuk saraan atau selainnya.
Menurutnya, pegawai pelesenan bagi pungutan itu ialah ketua pegawai polis yang bertanggungjawab bagi kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia atau Ketua Polis Negara manakala pihak berkuasa merujuk kepada Menteri Besar, Ketua Menteri atau Menteri, bergantung kepada kawasan pungutan dibuat.
Akta itu menurutnya, turut menetapkan mana-mana orang yang berhasrat untuk menganjurkan pungutan hendaklah memohon lesen melalui pegawai pelesenan dan lesen hanya boleh dikeluarkan tertakluk kepada syarat serta pertimbangan pihak berkuasa atas dasar kepentingan awam.
“Jika mana-mana orang menganjurkan atau bertindak sebagai pemungut tanpa lesen yang sah ia merupakan satu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, jika mana-mana orang bertindak sebagai pemungut tanpa lesen yang sah pada setiap masa dia menjalankan pungutan, dia melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini,” katanya.
Menurut beliau, definisi pungutan serta subseksyen (2) turut merangkumi pungutan bagi sesuatu maksud tertentu apabila ia dibuat bersama representasi bahawa wang atau harta yang dikumpul akan digunakan bagi tujuan tersebut.
“Peruntukan ini penting kerana dalam banyak kes, ia sering disalahgunakan apabila hanya sebahagian kecil dana diperuntukkan bagi tujuan yang dinyatakan.
“Manakala sebahagian besar lagi digunakan sebagai kos pengurusan, pembayaran gaji pihak yang menguruskan kutipan, atau dibelanjakan untuk tujuan peribadi penganjur.
“Kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk meminda Akta 200 atau menggubal undang-undang baharu yang lebih komprehensif dan efektif dalam usaha mengawal selia aktiviti dan pengurusan dana awam oleh individu, yayasan dan NGO,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kelompongan undang-undang sedia ada bagi mengawal selia NGO yang menjadikan media sosial sebagai kaedah mengutip derma orang ramai menyebabkan wujud ruang penyalahgunaan yang perlu ditangani melalui reformasi undang-undang.
Walaupun terdapat pelbagai undang-undang sedia ada yang memantau operasi NGO seperti Akta Pertubuhan 1966 serta undang-undang jenayah dan kewangan seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram namun Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus mengawal NGO daripada membuat kutipan dana awam melalui platform digital dan media sosial.
Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Yuhafiz Mohd. Salleh dilaporkan berkata, ketika ini terdapat lebih 90,000 NGO berdaftar yang tertakluk di bawah pelbagai akta berasingan.
Bagaimanapun katanya, Malaysia masih belum mempunyai satu akta khusus yang mengawal selia penubuhan serta operasi NGO atau organisasi bukan berorientasikan keuntungan (NPO).
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.-UTUSAN.










