200,000 pembeli dapat semula rumah

200,000 pembeli dapat semula rumah

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM150 bilion berjaya di­pulihkan sejak Disember 2022.

Kejayaan itu berjaya membantu kira-kira 200,000 pembeli mendapatkan semula kediaman yang sekian lama tertangguh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu dicapai ha­sil usaha pasukan petugas khas kementerian yang menyelaras tindakan pemulihan bersama pemaju, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan.

“Pemulihan projek tersebut yang bermula sejak Disember 2022, bukan sekadar menyelamatkan pembangunan, malah mengembalikan harapan ribuan keluarga yang selama ini menanggung beban pinjaman perumahan.

“Setiap projek berjaya di­pulihkan memberi manfaat besar kepada pembeli yang sebelum ini terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menduduki rumah sendiri.

“Pihak kementerian akan terus memperkukuh sistem pemantauan supaya lebih banyak projek bermasalah dapat dikenal pasti dan dipulihkan seawal mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis pe­rasmian Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa Ke-25 (Archidex 2026) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Kor Ming berkata, reformasi seperti Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS), Perjanjian Jual Beli Elektronik (e-SPA) dan Audited Housing Development Account membantu meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan projek perumahan di seluruh negara.

Katanya, kementerian turut mencadangkan pelaksanaan me­kanisme ‘Option to Purchase’ bagi mengurangkan risiko pembangunan yang tidak mempunyai permintaan pasaran mencukupi.

“Saya yakin pembaharuan tersebut mampu memperkukuh perlindungan pembeli selain meningkatkan disiplin pemaju dalam merancang dan melaksa­nakan projek perumahan secara lebih bertanggungjawab.

“Kementerian meletakkan sasaran Malaysia bebas daripada projek perumahan sakit dan terbengkalai menjelang 2030 menerusi reformasi berte­rusan sektor perumahan.

“Kejayaan memulihkan ri­buan projek membuktikan kerjasama kerajaan serta industri mampu mengembalikan keyakinan rakyat ter­hadap pasaran hartanah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN