KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk membentangkan rang undang-undang baharu bagi mengawal selia ekosistem e-dagang negara sebelum akhir tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, undang-undang itu bertujuan mewujudkan persekitaran perdagangan digital yang lebih adil, telus, berintegriti dan progresif.
Menurutnya, kementerian telah memulakan kajian mengenai kerangka perundangan baharu itu sejak 2024 termasuk melaksanakan penanda aras terhadap amalan di beberapa negara serta sesi libat urus bersama pemain industri.
“Memorandum dasar mengenai cadangan ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum proses penggubalan rang undang-undang dimulakan.
“Kita menyasarkan sebelum berakhir tahun 2026, satu undang-undang baharu dapat dibentangkan bagi mengawal selia ekosistem e-dagang di Malaysia,” katanya selepas merasmikan Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal anjuran TikTok Shop di ibu negara, hari ini.
Armizan berkata, undang-undang baharu itu akan menggantikan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada yang hanya berfungsi sebagai perundangan asas bagi urusan perdagangan secara elektronik.
Katanya, akta berkenaan belum mengawal selia secara menyeluruh hubungan antara penyedia platform, peniaga dan pengguna.
“Kerangka baharu itu penting bagi mewujudkan ekosistem e-dagang yang sihat, adil, telus, berintegriti, inklusif dan progresif.
“Pada masa sama, kita tidak mahu pengawalseliaan itu menjejaskan pertumbuhan sektor e-dagang yang semakin penting kepada ekonomi negara,” katanya.
Mengulas isu kos sara hidup, beliau berkata, kerajaan menggunakan pendekatan serampang dua mata dengan memastikan pergerakan harga barangan kekal stabil dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, usaha meningkatkan pendapatan termasuk pelarasan gaji penjawat awam selepas lebih sedekad tidak disemak serta pengukuhan ekosistem keusahawanan bagi membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan.
“Kadar inflasi negara menunjukkan trend semakin reda sejak 2023, namun kerajaan terus berwaspada terhadap kemungkinan tekanan baharu akibat konflik di Asia Barat,” katanya.










