Tapak tangan kanak-kanak ditembus paku, bomba potong kayu bantu proses rawatan - Utusan Malaysia

Tapak tangan kanak-kanak ditembus paku, bomba potong kayu bantu proses rawatan

KEADAAN tangan mangsa ditembusi paku yang melekat pada sebatang kayu semasa bermain di sebuah rumah dusun di Kuala Krai, Kelantan semalam.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terpaksa menahan kesakitan selepas tapak tangan kanannya tertusuk paku yang masih melekat pada sebatang kayu lebih 1 meter semasa bermain di sebuah rumah kebun di sini semalam.

Situasi itu menyebabkan pihak Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini terpaksa meminta bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu memotong kayu berkenaan bagi membolehkan rawatan dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan
daripada hospital pada pukul 12.27 tengah hari dan terus ke HSIP bersama tujuh anggota.

Katanya, setiba di unit kecemasan HSIP anggota bertugas mendapati kayu terlalu panjang dan menyukarkan proses rawatan.

“Anggota bomba menggunakan gergaji tangan untuk memotong bahagian kayu yang masih melekat pada tangan mangsa.

“Operasi berjalan lancar dan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum mangsa diserahkan semula kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ahmad Afham memberitahu, siasatan awal mendapati paku yang terdapat pada kayu tangga rumah kebun itu telah tertusuk pada tapak tangan kanan kanak-kanak tersebut.

Katanya, berkemungkinan besar kayu tersebut tercabut sebelum terkena tangan mangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN