Suri rumah dijel 17 tahun, dera anak angkat hingga maut

Suri rumah dijel 17 tahun, dera anak angkat hingga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dipenjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas dia mengaku bersalah mendera seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang juga anak angkatnya hingga menyebabkan kematian bayi itu.

Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Subrina Imran, 39, selepas dia mengaku atas perbuatan itu dengan mencubit, menampar dan menggigit mangsa sehingga mengalami lebam pada muka serta seluruh badan, tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap iaitu 31 Julai 2025.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian bayi itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras, di sini antara pukul 10 malam, 29 Julai hingga pukul 7 pagi, 30 Julai 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, polis menerima laporan daripada suami tertuduh yang memaklumkan anak angkat mereka tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan terlentang di atas katil bayi di sebuah bilik rumah berkenaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan lebam pada muka dan seluruh badan mangsa akibat dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh.

Siasatan turut mendapati tertuduh menganiaya bayi berkenaan dengan menghisap dadah jenis syabu sebelum menghembuskan asap ke dalam mulut mangsa.

Polis turut menemukan perbualan aplikasi WhatsApp yang dihantar tertuduh kepada suaminya dengan ayat, “Aku kasi lebam budak itu separuh mati.”

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kesalahan itu meragut nyawa seorang bayi yang tidak berupaya mempertahankan diri.

Katanya, pada usia tujuh bulan, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan.

“Pada usia itu, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan. Namun, individu yang sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa telah menjadi punca kepada penderitaan dan kematiannya. 

“Hukuman yang dijatuhkan hendaklah memberi mesej yang jelas bukan sahaja kepada tertuduh, malah masyarakat di luar sana bahawa penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Siti Subrina yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung.

“Saya juga telah ditinggalkan suami puan (hakim),” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN