KOTA BHARU: Keprihatinan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang berkenan mencemar duli melawat tapak kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini malam tadi menjadi penyuntik semangat kepada mangsa yang berdepan kehilangan tempat tinggal selepas 29 rumah musnah dalam kebakaran pada Isnin lalu.
Keberangkatan baginda ke lokasi kejadian bagi menyantuni mangsa yang terkesan dengan tragedi itu turut mencerminkan sifat kasih sayang seorang Raja yang sentiasa dekat di hati rakyat, khususnya ketika mereka berdepan ujian dan kesusahan.
Baginda turut mengurniakan sumbangan kepada mangsa yang ditimpa musibah berkenaan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam tadi.
Menurut Mohd Asri, keberangkatan Sultan Muhammad V pada saat rakyat ditimpa musibah merupakan manifestasi keprihatinan dan kasih sayang baginda terhadap rakyat jelata.
“Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas keprihatinan dan limpah perkenan berangkat pada malam ini menyantuni rakyat jelata yang ditimpa musibah kebakaran di Kampung Gok Kapur.
“Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada saat rakyat berdepan ujian dan kesusahan merupakan manifestasi kasih sayang seorang Raja yang sentiasa dekat di hati rakyat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu memberitahu, kehadiran baginda bukan sahaja membawa semangat dan kekuatan kepada mangsa yang terlibat, malah menjadi sumber ketenangan serta pengharapan kepada seluruh penduduk yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Katanya, rakyat menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Sultan Muhammad V yang berkenan turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa selain menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap musibah yang berlaku.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, keafiatan dan keberkatan yang berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta terus memayungi negeri dan rakyat dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.-UTUSAN










