Seni budaya jadi produk pelancongan

Seni budaya jadi produk pelancongan

AMINUDDIN Harun dan tetamu kehormat lain melihat replika rumah tradisional Negeri Sembilan yang ditampilkan dalam Majlis Perasmian Festival Rentak Negeri 2026 di Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan kelmarin.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan terus memainkan peranan bagi memperkasa seni budaya sebagai produk pelancongan.

Menerusi penganjuran Program Pelancongan Budaya 2026, identiti dan warisan setiap negeri akan diketengahkan kepada masyarakat khususnya generasi muda sekali gus menjadi tarikan yang menarik kehadiran pelancong.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, setiap negeri mempunyai identiti kesenian dan budaya masing-masing yang perlu terus diketengahkan termasuk di Negeri Sembilan.

Sehubungan itu katanya, JKKN menganjurkan program Festival Rentak Negeri 2026 di Pantai Batu 1 di sini selama tiga hari dan berakhir semalam sebagai platform mengetengahkan keunikan seni budaya dan adat Negeri Sembilan.

“Antara kelainan yang dibawa adalah dengan menyerlahkan keseniaan dan rekaan rumah tradisional Negeri Sembilan selain adat membawa tandu.

“Melalui pendekatan itu, mesej mengenai adat dan seni budaya Negeri Sembilan dapat disebarluaskan kepada ma­sya­rakat khususnya golongan muda,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Rentak Negeri 2026 di Pantai Batu 1, di sini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Pelancongan), Chua Choon Hwa serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.

Mohd. Amran berkata, penganjuran Festival Rentak Negeri 2026 juga menjadi medium mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.

“JKKN berperanan memperkasakan seni budaya sebagai produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancong. Kami dengan kerjasama kerajaan negeri telah menyusun pelbagai program pelancongan budaya di seluruh negara mengikut negeri masing-masing,” katanya.

Katanya, peranan itu akan diteruskan menerusi penganjuran Festival Kesenian Rakyat Kelantan dari 1 hingga 4 Julai ini yang menampilkan pelancaran inovasi Rebana Ubi buat julung kali dan menyasarkan keha­diran lebih 400,000 pengunjung.

“Buat pertama kalinya kami akan melancarkan inovasi Rebana Ubi dan pada masa sama mengetengahkan pelbagai ke­senian tradisional seperti Makyong, Dikir Barat dan Kertok.

“Festival kali ini diadakan di Pantai Tok Bali yang merupakan antara destinasi pelancongan utama di Kelantan dan kami berharap akan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, Program Pelancongan Budaya 2026 akan diteruskan dengan penganjuran Temasya Orang Kedah pada penghujung Julai hingga Ogos depan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Festival Rentak Negeri yang memasuki edisi kedua itu menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Menurutnya, festival tersebut merupakan manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan.

Katanya, program tersebut menjadi platform memperkenalkan keunikan Negeri Sembilan kepada masyarakat dan pelancong antarabangsa sekali gus menyokong TMNS 2026 serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

“Saya berharap program se­perti ini dapat diperbanyakkan, bukan hanya sekali setahun malah jika boleh dua kali setahun kerana ia memberi banyak manfaat kepada sektor pelancongan,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN