PASIR MAS: Taktik licik seorang lelaki menjadikan rumah sewa sebagai ‘makmal’ memproses dan menjual air ketum sejak tahun lalu di Gual Periok di sini terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Serbuan pukul 11.30 malam itu membawa kepada rampasan
100 liter air ketum dan barangan memproses minuman berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5,430.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan di lokasi sebaik sahaja suspek berusia 40 tahun berjaya ditahan membawa kepada penemuan 100 bungkus air ketum dalam sebuah peti sejuk beku.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mula terlibat dalam kegiatan memproses air ketum sejak awal tahun 2025.
“Daun ketum yang dibeli daripada seorang individu dikenali sebagai Man dan dimasak menggunakan dua periuk sebelum menghasilkan kira-kira 200 bungkusan air ketum.
“Air ketum tersebut akan dijual pada harga RM10 sebungkus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek dipercayai menyewa rumah berkenaan untuk dijadikan tempat memproses air ketum.
Katanya, bagaimanapun suspek menetap di rumah mentuanya di Kampung Repek dekat sini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampitamine,” ujarnya.-UTUSAN










