‘Pintu belakang’ ke universiti: Haim Hilman dihadapkan ke mahkamah

‘Pintu belakang’ ke universiti: Haim Hilman dihadapkan ke mahkamah

HAIM Hilman Abdullah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban semalam bagi berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan awam berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah, 53, dihadapkan ke Mah­kamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan awam berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam.

Bagaimanapun, Pengerusi Ja­­watankuasa Industri dan Pe­laburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, Haim Hilman sebagai Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat ke­nyataan dengan niat menye­bab­kan kebimbangan yang mendorong melakukan kesalahan ter­hadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Markas Pas Seremban di sini, antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam pada 13 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pengarah pendakwaan negeri, Ku Hayati Ku Haron mencadang­kan jaminan RM10,000 beserta syarat tambahan kepada OKS untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Barisan enam peguam dike­tuai Mohd. Faizi Che Abu mewakili OKS bagaimanapun me­mohon jaminan lebih rendah pada nilai RM5,000 yang disifatkan lebih munasabah.

Pihak pembelaan turut membantah cadangan pendakwaan supaya pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah memandangkan statusnya sebagai Exco kerajaan negeri memerlukannya untuk menggunakan pasport pada tujuan tugas-tugas rasmi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan pada jumlah RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan selain menetapkan 30 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan meneliti tindakan dan prosedur perundangan terhadap Haim Hilman berhubung kenyataannya mengenai sistem kemasukan ke universiti awam.

Ia susulan ucapan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berke­naan yang disiarkan menerusi Facebook ketika Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Markas Pas Seremban pada 13 Jun lalu.

KPT dilaporkan berkata, tuduhan itu bukan sahaja serius malah boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN