Perkeso pastikan pencarum dilindungi di luar waktu kerja

Perkeso pastikan pencarum dilindungi di luar waktu kerja

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih sembilan juta pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini menikmati perlindungan kemalangan di luar waktu be­kerja menerusi pelaksanaan skim Lindung 24 Jam yang mula ber­kuatkuasa semalam di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Inisiatif baharu kerajaan itu merupakan satu langkah besar dalam memperkukuh jari­ngan keselamatan sosial negara apabila perlindungan tidak lagi terhad ketika kemalangan berkaitan pekerjaan.
Sebaliknya kini ia meliputi insiden yang berlaku di luar waktu bekerja temasuk pada hari cuti dan hujung minggu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, skim perlindungan itu dilaksa­nakan secara automatik kepada semua pekerja sektor formal sedia ada tanpa memerlukan pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.

“Individu yang mula bekerja dan melapor diri untuk bertugas mulai hari ini (semalam) hendaklah didaftarkan oleh majikan masing-masing mengikut prosedur sedia ada menerusi sis­tem Perkeso.

“Caruman bagi skim Lin­dung 24 Jam akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada siling gaji caruman RM6,000.

“Kadar caruman permulaan ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan manakala majikan bertanggungjawab me­nguruskan potongan gaji serta membuat bayaran caruman bulanan kepada Perkeso,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurut Ramanan, caruman hendaklah dibayar secara berte­rusan bagi memastikan perlin­dungan tidak terputus di sam­ping memudahkan pematuhan dalam kalangan majikan dan pekerja.

“Menerusi skim itu, Perkeso menyediakan lapan faedah bagi melindungi kebajikan serta ke­langsungan hidup pencarum termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal dan faedah orang tanggungan.

“Skim ini turut merangkumi elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat, pemulihan fizikal, pemulihan vokasional dan Program Return To Work (RTW), selain faedah pendidikan bagi menyokong masa depan penerima manfaat,” katanya lagi.

Tambah beliau, peluasan perlindungan itu selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik antarabangsa dalam usaha memperkukuh rangkaian keselamatan sosial pekerja.

“Melalui inisiatif terbaharu Perkeso ini, kerangka perlindu­ngan sosial negara menjadi lebih menyeluruh, dinamik dan responsif terhadap realiti semasa pasaran buruh. Ia sekali gus menyokong agenda Malaysia Madani dalam memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja.

“Permohonan faedah boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal Lindung Faedah di lindungfaedah.perkeso.gov.my atau di pejabat Perkeso berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Perkeso memaklumkan kemalangan yang diliputi di bawah skim ini adalah kemalangan yang tidak terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaan dan tidak berkait secara langsung dengan penggajiannya.

“Kemalangan tersebut hendaklah berlaku dalam Malaysia di luar waktu bekerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

“Insiden yang dilindungi di bawah Skim Lindung 24 Jam adalah kemalangan di rumah, kemalangan jalan raya di luar perjalanan kerja, kecederaan semasa aktiviti peribadi dan insiden-insiden lain yang tidak berkaitan pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, antara contoh senario kemalangan yang dilindungi di bawah Skim Lindung 24 Jam adalah seperti pekerja yang mengalami kecederaan selepas terlibat dengan kemalangan ketika membawa keluarga bercuti hujung minggu.

Selain itu, pekerja yang men­yertai ibadah korban dan terce­dera akibat disondol haiwan yang hendak dijadikan korban juga berkelayakan untuk mendapat faedah-faedah yang tersedia di bawah Skim Lindung 24 Jam ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN