PETALING JAYA: Parti politik termasuk tiga gabungan utama melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bersedia memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan dalam tempoh dua bulan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kelmarin.
Pemimpin parti-parti politik utama dilaporkan memperkemas jentera dan persiapan bagi meraih sokongan lebih 2.7 juta pengundi membabitkan perebutan 56 kerusi DUN.
Situasi itu mengulangi saingan PRN 2022 yang meyaksikan BN ketika itu menang selesa 40 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan majoriti, manakala PH menang 12 kerusi dengan 10 kerusi dimenangi DAP, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan beliau untuk BN sekali lagi menang besar dengan menyasarkan memenagi lebih 40 kerusi.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri, kekuatan jentera parti serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor.
“Itulah azam kita. Mudah-mudahan akan dipertahan dan kita mengharapkan pertambahan kerusi melebihi 40 seperti yang pernah kita peroleh dalam PRN Johor lalu,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Terengganu Equestrian Resort di sini, semalam.
Mengulas keputusan BN Johor bertanding solo, Ahmad Zahid berkata, kerajaan yang dibentuk di Johor ketika ini adalah kerajaan ditunjangi BN yang diwujudkan sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Pakatan Harapan (PH) Johor pula akan membawa perbincangan berhubung strategi menghadapi PRN ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat.
Menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Dr. Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, langkah seterusnya akan dirangka bersama kepimpinan tertinggi PH bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar.
“Pakatan Harapan akan meneruskan segala persiapan sedia ada bagi menghadapi pilihan raya ini dan perbincangan akan dipanjangkan ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan Pusat bagi merangka langkah seterusnya,” katanya.
Malah PH turut menegaskan mereka tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi meskipun berdepan BN yang kini menerajui kerajaan negeri.
“Bagi kami, tidak ada pilihan raya yang mudah. PH siap sedia menggembeling usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN kali ini,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyatakan kesediaan PN memasuki gelanggan PRN Johor dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Selepas memenangi hanya tiga kerusi iaitu DUN Bukit Kepong, Endau dan Maharani pada PRN lalu, beliau menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen PN memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya ini dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan.
“Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi,” katanya dalam kenyataan.
Pas Johor pula sudah menggerakkan seluruh jentera parti di semua peringkat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 susulan pembubaran DUN kelmarin.
Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, pendirian beliau selari dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berhubung kesiapsiagaan parti itu menghadapi PRN berkenaan.
Beliau berkata, setiap parti politik yang memasuki gelanggang pilihan raya sudah pasti meletakkan sasaran untuk memperoleh kemenangan, termasuk memenangi sebanyak mungkin kerusi yang ditandingi.
“Pendirian saya sama seperti apa yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Pas Johor. Secara asasnya, mana-mana parti politik yang masuk bertanding pasti akan meletakkan sasaran untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, parti itu sudah mula berada dalam mod pilihan raya sejak tahun lalu selepas menjangkakan pilihan raya akan diadakan lebih awal.
Beliau berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, Bersatu sejak telah mula menyusun semula kepimpinan di peringkat pusat, bahagian dan sayap parti menerusi pasukan khas yang diwujudkan sejak Mac lalu.
Katanya, proses penyusunan semula itu dilakukan dengan pantas bagi memastikan parti kembali tersusun dalam menghadapi perkembangan politik semasa.
Bagi MUDA, parti itu akan meneruskan misi mempertahan kerusi DUN Puteri Wangsa yang disandang Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz.
Malah, MUDA menyifatkan kemenangan di DUN Puteri Wangsa sebelum ini membuktikan rakyat negeri itu bersedia memberi peluang kepada politik baharu berteraskan integriti, keberanian dan kesungguhan untuk berkhidmat.
Katanya, MUDA juga akan menampilkan lebih ramai calon muda berkualiti, berwibawa dan mempunyai rekod perkhidmatan kepada masyarakat untuk menawarkan pilihan kepada rakyat.
Bagi gerakan baharu ‘Reset’ yang diasaskan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, PRN kali ini sebagai medan penting untuk mengangkat agenda pembaharuan serta menawarkan alternatif yang lebih segar kepada rakyat Johor.
Penyelaras Gerakan Reset Johor, Zulkifli Bujang berkata, mereka bersedia menggalas cabaran demokrasi bersama parti lain demi memperjuangkan masa depan Johor yang lebih sejahtera, adil dan maju.
“Pembubaran DUN Johor membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kepemimpinan negeri yang baharu.
“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada semua pihak yang ingin membawa aspirasi rakyat untuk mendapatkan mandat menerusi proses demokrasi,” katanya.
PRN Johor menyaksikan kira-kira 2.7 juta pengundi dengan kira-kira 54.8 peratus terdiri daripada pengundi Melayu; 36.7 peratus (Cina), 6.9 peratus (India) manakala selebihnya meliputi lain-lain kaum. – UTUSAN










