KUANTAN: Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Pahang akan melaksanakan siri Jelajah Jom bagi mendekati golongan usahawan, memberi bimbingan strategik dan membuka peluang rangkaian perniagaan terutama dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Bagi sesi 2026 hingga 2028, PUMM Pahang kini diterajui kepimpinan baharu di bawah pimpinan Pengerusinya, Jason Tee.
Ketika ditemui, Jason berkata, siri Jelajah Jom dijadualkan bermula di Kuantan pada Oktober ini, sebelum diteruskan ke seluruh daerah di Pahang secara berperingkat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan dirangka khusus sebagai platform serantau untuk memperkasa usahawan tempatan di negeri ini melalui perkongsian ilmu, mentor perniagaan dan akses kepada peluang pasaran yang lebih luas.
”Kami mahu memastikan tiada usahawan yang tercicir. Melalui penjelajahan ke setiap daerah, PUMM Pahang dapat mendekati komuniti perniagaan secara lebih dekat, memahami isu setempat yang mereka hadapi, dan menyediakan penyelesaian yang praktikal,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi Padanan Perniagaan 1.0 yang dihadiri kira-kira 32 usahawan membabitkan pelbagai bidang di Repulse Bay Residences, Tanjung Lumpur di sini.
Sesi itu juga pertama kali dianjurkan PUMM Pahang yang turut dibarisi Ryan Chai Quan Zheng dan Jeff Loh Sheng Jiet sebagai naib pengerusi, Janice Lew Shi Ern (setiausaha), Tan Kwong Wei (bendahari) dan empat ahli jawatankuasa (AJK), Mieko Lee Saw Hsia, Wilson Teo Wei Sheng, Tony Teh Kian Pang dan Louie Yap Chee Fong.
Jason dalam pada itu berkata, cabaran yang dihadapi oleh golongan usahawan pada ketika ini disifatkan jauh lebih getir dan kompleks berbanding era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu penularan pandemik Covid-19 melanda negara sebelum ini.
Katanya, jika semasa PKP perniagaan lumpuh disebabkan oleh sekatan fizikal dan penutupan operasi, situasi hari ini menyaksikan tekanan datang daripada pelbagai sudut luar jangka.
“Antaranya termasuklah kenaikan harga barang yang berterusan, ketidaktentuan geopolitik dunia seperti konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dan tuntutan adaptasi teknologi baharu yang semakin mendesak,” katanya.
Jadi beliau berkata, golongan usahawan kini tidak boleh lagi sekadar berdiam diri atau terus selesa dengan kaedah perniagaan konvensional.
“Kita mesti bersatu, bekerjasama dan mencari penyelesaian bersama. Usahawan juga perlu menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana ia bukan lagi satu pilihan pada masa kini, tetapi merupakan satu keperluan untuk kelangsungan perniagaan,” katanya.
Sehubungan itu, Jason menyeru agar semua usahawan tanpa mengira latar belakang kaum dan budaya untuk merapatkan saf serta mengetepikan sebarang perbezaan.
Katanya, dalam mendepani landskap ekonomi yang semakin mencabar ini, perpaduan komuniti perniagaan pelbagai kaum adalah kunci utama bagi membina ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh, berdaya tahan dan saling menyokong antara satu sama lain. – UTUSAN










