Jenazah empat sekeluarga disemadikan dalam satu liang lahad di Felda Mempaga 1 - Utusan Malaysia

Jenazah empat sekeluarga disemadikan dalam satu liang lahad di Felda Mempaga 1

JENAZAH empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat Bukit Tinggi dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1 di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat Bukit Tinggi semalam selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1 di sini, pukul 7.15 malam tadi.

Jenazah A. Halim Hasoon, 55, isterinya, Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka, Norbahyah A. Halim, 26, serta cucu perempuan berusia setahun, Nayla Afya Aizat Faizal dikebumikan bersama dalam suasana penuh pilu dan  mengundang sebak ahli keluarga, saudara mara dan sahabat apabila azan Maghrib berkumandang dari masjid berhampiran ketika proses pengebumian sedang  berlangsung.

Terdahulu, tiga van yang membawa kesemua jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 6.15 petang selepas selesai proses bedah siasat dan pengurusan jenazah di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshahs), Temerloh sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Sebelum itu, kesemua jenazah terlebih dahulu disolatkan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh sebelum dibawa ke Surau Felda Mempaga 1 untuk disolatkan sekali lagi bagi membolehkan ahli keluarga dan penduduk setempat memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 200 meter dari surau berkenaan untuk urusan pengebumian.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta penduduk setempat hadir mengiringi pengebumian empat beranak itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, empat mangsa maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah lori treler dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN