SHAH ALAM: Selangor mencapai hasil negeri mencecah RM1.7 bilion sehingga ke hari ini iaitu melepasi 50 peratus sasaran RM2.8 bilion bagi 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedudukan itu menunjukkan negeri ini berada pada laluan yang betul untuk mencapai sasaran berkenaan pada akhir tahun ini.
“Insya-Allah, kita perlu mencari sekitar RM1.1 bilion lagi untuk mencapai sasaran RM2.8 bilion. Kalau menurut daripada unjuran yang kita ada, insya-Allah kita boleh capai menjelang akhir tahun ini,” katanya pada penggulungan perbahasan Pakej Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, hasil tersebut diperolehi walapun produktiviti negeri dilaporkan perlahan dalam tempoh tiga hingga empat bulan pertama susulan pelbagai festival perayaan termasuk sambutan Hari Raya Aidiladha pada bulan lalu.
“Alhamdulillah selepas suasana perayaan itu berakhir, sekarang fokus sudah ada dan hasil yang ditunjukkan RM1.6 bilion atau hari ini mungkin sudah mencecah RM1.7 bilion. PWN (Pegawai Kewangan Negeri) beri realtime waktu kutipan kita sampai ke detik ini.
“Di peringkat awal ataupun tiga bulan pertama tahun ini, kita melihat ada sedikit perlahan dari segi hasil negeri dan keadaan itu kita semak dan teliti setiap masa, alhamdulillah, masuk Jun kita berada dalam suasana kemasukan nilai hasil agak sepadan dengan sasaran.
“Biasanya, budaya masyarakat kita, waktu itulah suasana produktiviti menurun dan kita cukup faham tetapi kita menggesa penjawat awam bergerak dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
Tambah Amirudin lagi, beliau turut menyasarkan perbelanjaan negeri sehingga September tahun ini berada dalam lingkungan RM3 bilion selepas langkah penyusunan dan penjimatan dilakukan.
Tahun lalu, Selangor memperoleh hasil negeri sebanyak RM3.02 bilion melepasi sasaran RM2.35 bilion yang ditetapkan, malah sehingga November 2025 negeri ini merekodkan hasil RM2.4 bilion. – UTUSAN










