Dua pasangan suami isteri didakwa cederakan pembantu rumah

Dua pasangan suami isteri didakwa cederakan pembantu rumah

MAJIKAN yang dituduh memukul seorang pembantu rumah di hadapkan ke Mahkamah Majistret, Johor Bahru, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pembantu rumah di daerah ini, tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isterinya Nurfarah Ainna Hazhar, 34, serta Muhamad Firdaus Sha’aban, dan isteri, Nurafiqah Nabilah Hazhar masing-masing berusia 33 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah mencederakan Yulia Arnida, 34, di sebuah rumah di Jalan Ledang, Tampoi, di sini pada pukul 8.30 malam, 22 Disember tahun lalu.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Muhamad Firdaus Shaaban dan Nurafiqah turut berdepan dua pertuduhan secara bersama dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap dua lagi pembantu rumah, Yatina Yusnita dan Siti Hajar di sebuah rumah di Taman Daya, di sini antara pukul 2 hingga 4 petang, 11 Jun lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Muhamad Hirzihaziq dan Nurfarah Ainna secara berasingan berdepan dua pertuduhan mengugut untuk mencederakan Siti Hajar dan Yatina Yusnita di Kampung Melayu Majidee pada 12 Jun lalu.

Pendakwaan terhadap suami isteri itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sementara itu, Muhamad Firdaus berdepan dua lagi pertuduhan memiliki pasport Siti Hajar dan Yatina Yusnita tanpa alasan yang munasabah dan kuasa yang sah di Pejabat Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, di sini pada 13 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh dibuat di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Atifah Hazimah, A. Sharmini dan Tan Chiew King.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar dan Nurainaa Kamilah Zalizan.

Kamal Hisham kemudian memohon ikat jamin rendah untuk kesemua anak guamnya.

Semua mahkamah kemudian membenarkan jaminan secara keseluruhan terhadap Nurfarah Ainna dan suaminya masing-masing dengan jumlah ikat jamin sebanyak RM9,000 manakala Muhamad Firdaus dengan jumlah RM11,500 dan isterinya dibenarkan ikat jamin RM5,500.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi serahan dokumen.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×