KLUANG: Dua beradik yang memandu kereta BMW 530e dan Mercedes Benz A250 secara melulu dan merbahaya punca empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, pasangan suami isteri, Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36, dan Nor Azlina Abd. Latif, 33, serta dua ahli keluarganya iaitu Semek Mat Soh, 73, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan mendapati kedua-dua kereta mewah berkenaan dipandu secara melulu dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.
“Sampai di tempat kejadian, kereta BMW hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan serta melanggar empat buah kereta iaitu kereta Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes Benz dan Toyota Vios yang dinaiki mangsa.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, kereta BMW berkenaan jatuh di gaung di seberang jalan. Akibat kemalangan itu juga, pemandu Toyota Vios dan isterinya serta dua ahli keluarga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Bahrin, pemandu kereta BMW yang berusia 22 tahun itu turut maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini bagi mendapatkan rawatan.
“Pemandu Perodua Alza berusia 43 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala dua penumpang kanak-kanak berusia 11 dan tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala sedang menerima rawatan di zon merah hospital tersebut.
“Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun mengalami kecederaan di bahagian mulut manakala pemandu l lagi kereta Mercedes Benz iaitu seorang wanita tempatan berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian dada dan muka,” katanya.
Bahrin turut memberitahu, susulan itu pihaknya telah menahan adik kepada suspek yang memandu secara melulu serta merampas kenderaan jenis Mercedes Benz A250 yang dipandunya untuk siasatan.
“Suspek seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun, ujian urin mendapati negatif dadah, manakala suspek akan dibawa ke Mahkamah Kluang bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










