GEORGE TOWN: Syarat supaya semua pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) termasuk pengasuh di rumah mendaftarkan operasi mereka mampu meningkatkan tahap keselamatan serta keyakinan ibu bapa terhadap perkhidmatan ditawarkan.
Seorang pengasuh, Fatihah Rosli, 26, berkata, langkah tersebut bukan sahaja memberi perlindungan kepada kanak-kanak malah membantu memastikan pengasuh menjalankan tugas mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Menurutnya, pendaftaran rasmi membolehkan rekod pengasuh disimpan dengan lebih teratur sekali gus memudahkan tindakan diambil sekiranya berlaku sebarang isu atau insiden melibatkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
“Kalau ikut pandangan saya, ia lebih selamat. Apabila pengasuh berdaftar, ada rekod dan laporan yang boleh dirujuk. Bukan sahaja pengasuh malah ibu bapa juga akan berasa lebih yakin untuk menghantar anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan semua pusat jagaan taska di negara ini perlu berdaftar bagi memastikan pengoperasian dapat dilakukan secara sah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kegagalan mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan melalui penguatkuasaan tegas termasuk penutupan premis atau penyitaan serta-merta.
Mengulas lanjut, Fatihah yang bekerja di sebuah taska di Bukit Mertajam berkata, pendaftaran dan latihan yang diwajibkan kepada pengasuh adalah aspek penting dalam memastikan kualiti penjagaan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Katanya, pengasuh yang berdaftar lazimnya telah mengikuti kursus dan latihan berkaitan penjagaan kanak-kanak sekali gus membantu mereka mengendalikan pelbagai situasi dengan lebih profesional.
Sementara itu, seorang ibu, Sharifah Azwa Syed Azman, 44, berharap agar penguatkuasaan dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pusat jagaan, taska dan pengasuh persendirian mematuhi peraturan yang ditetapkan.-UTUSAN.











