Bapa impi jumpa penerima kornea anak untuk ubat kerinduan

Bapa impi jumpa penerima kornea anak untuk ubat kerinduan

SHARULANUAR Baharom (kiri) bersama isteri menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Amirul Jaris yang mendermakan kornea matanya selepas maut dalam kemalangan semasa menerima kunjungan Perkeso di Lorong Kubor, Taman Mekasar, Kampung Kasar, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang bapa menyimpan hasrat bertemu dengan penerima kornea mata anak lelakinya yang didermakan selepas meninggal dunia dalam kemalangan di susur masuk Iskandar Puteri, Lebuhraya Link Kedua Arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu.

Sharulanuar Baharom, 56, berkata, pertemuan itu diharapkan dapat menjadi pengubat kerinduan dirinya, isteri adik-beradik kepada arwah Muhammad Jaris Amirul.

Katanya, mengikut maklumat yang diperoleh kornea mata anak sulung daripada enam beradik itu sudah mempunyai penerima.

“Sebelah kornea diberikan kepada seorang wanita berusia 21 tahun di Johor Bahru manakala sebelah lagi kepada seorang lelaki berusia 56 tahun dari Sungai Buloh, Selangor.

“Kalau penerima itu terbaca atau terdengar mengenai perkara ini, kami sangat berharap dapat berjumpa. Jika mereka (penerima) tidak sudi berjumpa kami, tidak mengapa. Kami tidak memaksa, saya cuma mahu melihat sinar mata itu untuk ubat kerinduan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah di Lorong Kubur, Taman Mekasar, Kampung Kasar di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Nor Aziemah Ismail menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan, RM1,952 sebulan seumur hidup kepada waris Muhammad Amirul Jaris.

Mengulas lanjut, Shahrulanuar, keputusan keluarga untuk membenarkan proses pendermaan organ itu bukan sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa.

Kataya, ia lahir daripada kefahaman dan persetujuan seluruh keluarga yang sejak sekian lama telah berikrar sebagai pengikrar derma organ.

“Saya dan isteri sebenarnya sudah lama mendaftar sebagai pengikrar dan perkara itu turut dimaklumkan kepada semua anak-anak termasuk Allahyarham Muhammad Amirul Jaris.

“Pada hari kejadian, kami sebenarnya dalam keadaan terkejut dan terus terang, kami sendiri terlupa yang kami ini pengikrar derma organ kerana sudah lama membuat ikrar tersebut,” ujarnya.

Sharulanuar berkata, dia berharap tindakan itu bukan sahaja menjadi amal jariah buat Muhammad Amirul Jaris malah memberi sinar baharu kepada penerima kornea mata tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN