Wajibkan ambil insurans sebelum aktiviti pendakian

Wajibkan ambil insurans sebelum aktiviti pendakian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu mencontohi amalan keselamatan diterapkan oleh Jepun, Korea Selatan, Nepal dan Perancis terhadap aktiviti mendaki gunung dan bukit termasuklah mewajibkan insurans pendakian bagi mengurangkan risiko keselamatan kepada pendaki.

Presiden Kelab Pendaki La­sykar Gunung, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Mohd. Radzi Abdul Hamid berkata, negara-negara maju telah lama mempunyai sistem keselamatan pendakian yang tersusun dan profesional.

Sebagai contoh, katanya, di Jepun, pendaki diwajibkan membeli insurans pendakian melalui aplikasi telefon pintar sebelum dibenarkan melakukan aktiviti sukan lasak tersebut.

“Rasionalnya sistem insu­rans pendakian ini adalah jika berlaku kemalangan, kos operasi menyelamat ditanggung oleh syarikat insurans dan bukan dibebankan kepada ke­luarga mangsa.

“Di Korea Selatan pula, semua malim gunung diletakkan di bawah sistem pelesenan Korea National Park Service (KNPS). Setiap pendaki akan direkod, didaftar dan secara automatik dilindungi insurans keselamatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, di Nepal, pendaki gunung diwajibkan menggunakan malim gunung berlesen di bawah Nepal Mountaineering Association (NMA) dan Trekking Agencies’ Association of Nepal (TAAN).

“Insurans bukan sahaja melindungi pendaki tetapi juga pemandu gunung dan porter yang terdedah kepada risiko tinggi. Begitu juga di Perancis dan beberapa negara Eropah, hanya malim gunung profesio­nal berlesen International Fede­ration of Mountain Guides Associations (IFMGA) dibenarkan membawa ekspedisi gunung.

“Setiap ekspedisi pula wajib mempunyai perlindungan insurans penuh termasuk tanggungan undang-undang dan kecemasan,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Sekre­tariat Angkatan Masa Hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, malangnya di Malaysia, sistem sedemikian masih belum benar-benar matang secara menyeluruh.

Pada masa sama katanya, pendaki-pendaki tempatan juga masih belum bersedia menerima sistem yang terlalu profesional kerana kosnya agak tinggi dan budaya penekanan terhadap aspek keselamatan juga masih rendah.

“Rata-rata pendaki tidak selesa dengan adanya malim gunung kerana kos pendakian bertambah. Ramai pendaki merungut, permit mendaki naik daripada RM1 kepada RM5 atau RM10 pun sudah dianggap mahal.

“Malah ada pendaki yang sanggup mencuri-curi masuk tanpa permit walaupun kos permit itu sangat murah berbanding risiko yang ditanggung.

“Ironinya, ada yang lebih rela membayar saman Jabatan Perhutanan sehingga ribuan ringgit daripada membayar permit sah,” katanya.

Bagaimanapun beliau ber­kata, isu itu timbul bukan semata-mata disebabkan keengganan pendaki membayar per­mit namun ia berpunca dari­pada sistem permohonan permit itu sendiri masih bersifat tradisio­nal dan menyusahkan.

“Ada negeri yang masih memerlukan pendaki hadir sendiri ke pejabat hutan dan mengisi borang secara manual. Hanya beberapa negeri sahaja sudah menyediakan permit pendakian secara dalam talian dan ia terbukti jauh lebih mudah, cepat dan mesra pengguna,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Radzi yang juga Penasihat Kehormat Persatuan Nadi Sihat berkata, sepanjang pengalamannya dalam dunia sukan pendakian, ramai pendaki terlalu memandang mudah soal keselamatan sedangkan ia me­rupakan aspek terpenting yang perlu dititikberatkan.

“Ada yang mendaki hanya berbekalkan sebotol air mine­ral kecil, kasut biasa dan telefon bimbit. Lebih membimbangkan ada yang langsung tidak mengetahui tahap kesukaran laluan, perubahan cuaca, risiko dehidrasi, teknik kecemasan atau asas ikhtiar hidup.

“Mereka mendaki seperti keluar bersiar-siar di pusat beli-belah sedangkan di gunung, satu kesilapan kecil boleh membawa kepada tragedi besar,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN