JEMPOL: “Terima kasih.” Itu titah ringkas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika baginda mencemar duli menerima memorandum sokongan dan taat setia daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi), Muhamad Kamel Yassin selepas Majlis Solat Jumaat dan Santapan bersama baginda di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, di sini.
Ketua Sekretariat Sokongan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D Shahriman Datuk Zaharuddin berkata, kira-kira 200 individu daripada 12 NGO hadir sebagai tanda sokongan kepada Tuanku Muhriz.
Katanya, kehadiran itu mencerminkan sokongan berterusan bagi mempertahankan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Pada hari ini kita dapat berkumpul dan insya-Allah kami akan sentiasa mempertahankan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Semangat ini yang kami tunjukkan bahawa kami sentiasa menyokong Tuanku,” katanya.
Terdahulu, keberangkatan Tuanku Muhriz diiringi kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin.
Baginda disambut Penghulu Luak Jempol, Datuk Lela Putra Setiawan, Datuk Mazri Mansor serta dua lagi Penghulu Luak Tanah Mengandung iaitu Penghulu Luak Inas dan Penghulu Luak Gunung Pasir selain barisan datuk adat.
Selesai solat Jumaat, Tuanku Muhriz bersama putera baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang menjadi amalan kelaziman baginda setiap kali berangkat ke masjid tersebut.
Baginda kemudiannya berangkat menghadiri jamuan santapan bersama rakyat sebelum berangkat pulang.-UTUSAN.










