Semalam 1 Mei 2026, lebih 17 juta rakyat Malaysia, sama ada mereka bekerja makan gaji atau bekerja sendiri, meraikan sambutan Hari Pekerja. Berpuluh tahun sudah kita menyambutnya namun sejauh mana sambutan benar-benar memberi impak dalam memperjuangkan nasib pekerja, masih kekal menjadi perdebatan dalam kalangan pelbagai pihak.
Isu gaji rendah, pelbagai elaun serta imbuhan setimpal, perlindungan insurans, kesihatan, kemudahan pinjaman perumahan dan kenderaan antara yang menjadi perhatian pekerja.
Pekerja sering dianggap sebagai aset penting syarikat dan negara. Memang betul. Tanpa pekerja tiadalah bos, tiadalah syarikat. Ekonomi negara tidak mungkin tumbuh jika pekerja tidak produktif. Namun sejauh mana aset itu diletakkan di tempat sewajarnya, itulah yang terus diperdebatkan.
Sebagai contoh, pendedahan akhbar ini mengenai kebajikan lebih tiga juta pekerja gig yang masih kabur meskipun Akta Pekerja Gig 2025 sudah berkuat kuasa pada 31 Mac lalu. Apa tindakan pihak kerajaan dan majikan?
Begitu juga pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sejauh mana ia dikuatkuasakan? Berapa banyak pekerja yang masih dibayar di bawah paras tersebut? Setimpalkah gaji itu bagi pekerja yang hidup di bandar-bandar besar? Nak tahu? Majikan dan pemimpin kerajaan, rajin-rajinlah layari media-media sosial, platform untuk ramai pekerja meluahkan keluh kesah hidup mereka.
Bukan setakat gaji setimpal yang dituntut pekerja. Aspek kebajikan mereka dan keluarga sepatutnya turut diambil kira pihak majikan dan kerajaan. Mana mungkin seorang pekerja dapat menyumbang semaksimumnya kepada syarikat dan majikan jika aspek kebajikan diabaikan. Pekerja sakit, anak isteri atau ibu bapa sakit, kematian antara yang meruntun jiwa dan emosi pekerja. Ambillah peduli, majikan tidak akan rugi pun.
Kisah seorang penjawat awam di Sabah berulang-alik 700 kilometer dari tempat kerja ke rumah demi isteri, anak-anak dan ibunya, wajar membangkitkan kesedaran dan sifat ehsan dalam kalangan majikan. Dia maut ketika dalam perjalanan pulang. Dilaporkan, dia memohon untuk berpindah tetapi gagal, akibatnya dia terpaksa berulang-alik jarak lebih jauh KL-KB. Sebab apa, hanya dia yang tahu.
Majikan yang tinggi sifat ihsan dan manusiawi, akan cuba menyelami kehidupan pekerjanya. Tapi, itulah ego seorang majikan, hanya bertindak selepas pekerja sudah tiada. Majikan lebih rela rugi daripada menjaga kebajikan setiap pekerja.
Alasan, pertukaran ikut kekosongan dan keperluan, sedangkan ada sahaja pertukaran luar jangka yang berlaku. Lebih teruk lagi, alasan ‘awak yang memilih pekerjaan ini, kalau tak suka sila berhenti’. Ya, begitulah lagak seorang majikan, namun kurang dihormati oleh pekerja.
Majikan perlu ingat, pekerja akan setia dan tidak berkira sekiranya dibayar setimpal, kebajikan mereka dan keluarga terjaga. Pekerja sedia hilang kerja, tukar kerja untuk mendapat penghargaan setimpal. Yang akhirnya rugi adalah majikan.
Benar pekerja hilang boleh diganti tetapi pengganti tidak mampu menghasilkan kerja setara dengan pekerja yang pergi. Penghormatan mereka kepada majikan juga tidak sama. Pekerja pergi bersama kepakaran dan kemahiran yang tidak dapat diganti sekelip mata. Jadi, jika benar pekerja aset, jagalah mereka.
Di pihak pekerja pula, bekerjalah bukan sekadar untuk habuan. Jalankan tugas anda dengan penuh amanah, jangan khianat. Buktikan anda adalah benar, aset untuk syarikat. Maju pekerja, majulah syarikat dan negara. Selamat Hari Pekerja.
Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Layanlah pekerja sebagai aset, bukan ‘kuli’

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved