SEREMBAN: Malaysia tidak akan memaafkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low walaupun Amerika Syarikat (AS) membuat pendirian berbeza mengenainya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kuala Lumpur tidak akan menentang pendirian yang bakal dibuat oleh AS dan negara ini tidak terikat dengan keputusan tersebut.
“Kami tidak akan mempertimbangkannya (jika Jho Low memohon pengampunan dari Malaysia).
“Tidak ada masalah kerana ini adalah keputusan AS. Kami tidak akan menyokong mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Wall Street Journal bahawa Jho Low dikatakan telah memohon pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump.
Laporan itu yang memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut memberitahu, permohonan itu difailkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya di AS.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jho Low tidak sepatutnya diberi sebarang pengampunan atau kelonggaran susulan skandal besar yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, kerosakan serta musibah yang dibawa Jho Low kepada negara terlalu besar sehingga tidak wajar diberikan sebarang pertimbangan untuk dimaafkan.-UTUSAN.










